Isnin, 16 Januari 2017 | 10:32pm

IWK jalin kerjasama dengan TGS Jepun

KUALA LUMPUR: Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) hari ini memeterai perjanjian kerjasama dengan Tokyo Metropolitan Sewerage Service Corporation (TGS) bagi melatih seramai 30 pekerja daripada IWK dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di Tokyo, Jepun mulai tahun ini hingga 2018.

Pemangku Ketua Pegawai Operasi IWK, Mohamed Haniffa Abdul Hamid, berkata latihan dalam bidang operasi dan penyelenggaraan sistem pembetungan turut akan disokong oleh Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan Biro Perkhidmatan Pembetungan Kerajaan Metropolitan Tokyo.

"IWK sentiasa mahu memperkembangkan lagi ilmu pengetahuannya, dalam bidang dan idea baharu yang berkaitan dengan pengurusan air sisa terutamanya dari negara-negara maju seperti Jepun," katanya semasa berucap pada majlis menandatangani perjanjian tersebut di sini hari ini.

"Kami berharap TGS yang memiliki pengalaman yang luas dalam rawatan air sisa di Jepun akan mampu untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman berharganya bagi memajukan pengurusan air sisa kami," katanya.

Mohamed Haniffa, berkata IWK sebelum ini telah menghantar lebih 100 kakitangannya untuk menjalani program latihan di bawah kelolaan JICA.

Sementara itu, Presiden TGS Kenichi Ogawa, berkata sejak ditubuhkan, perbadanan itu sudah berusaha untuk mempertingkatkan perkhidmatan pembetungan selama lebih 30 tahun dan ia akan terus memberi sokongan penuh untuk memajukan sistem pembetungan Malaysia.

IWK, yang ditubuhkan pada tahun 1994, mengendali dan menyelenggara lebih daripada 6,500 loji rawatan air kumbahan, 1,000 stesen pam dan lebih daripada 18,000 kilometer rangkaian pembetungan.

JICA adalah agensi yang menggalakkan kerjasama dan latihan industri antara Jepun dan negara lain. -- BERNAMA

Berita Harian X