Selasa, 10 Januari 2017 | 12:52am

McDonald jual operasi di China RM9.31 bilion

McDonald.- Foto AFP
McDonald.- Foto AFP

BEIJING: Gergasi makanan segera Amerika Syarikat (AS), McDonald akan menjual kepentingan perniagaannya di China dan Hong Kong bernilai AS$2.08 bilion (RM9.31 bilion) kepada sebuah konsortium, termasuk Citic dan Carlyle Group, demikian menurut satu pengumuman hari ini.

Perjanjian itu adalah sebahagian daripada pelan pemulihan antarabangsa oleh Golden Arches susulan berhadapan pertumbuhan yang perlahan.

Citic Limited, Citic Capital Holdings, Carlyle Group dan McDonald akan membentuk sebuah syarikat yang akan bertindak sebagai pemegang francais bagi rantaian perniagaan di tanah besar China dan Hong Kong itu sejak 20 tahun, kata syarikat berkenaan dalam satu kenyataan bersama.

Citic, konglomerat China mempunyai kepentingan dalam perniagaan yang terdiri daripada tenaga dan pembuatan hartanah.

Menerusi kenyataannya kepada Bursa Saham Hong Kong, pembelian itu akan memberi pendedahan kepada sektor pengguna China, 'yang dijangka menjadi pemacu utama ekonomi China untuk beberapa dekad akan datang,'.

Restoran rangkaian burger itu tahun lalu mengumumkan rancangan untuk menjual lebih 2,600 restoran di China dan Hong Kong, selepas jualannya terjejas berikutan ketegangan di Laut Cina Selatan menjejaskan pendapatan syarikat AS di negara itu.

Perniagaannya di China juga menerima tamparan pada tahun 2014 berhubung isu keselamatan makanan yang membabitkan salah satu daripada pembekal dagingnya.

Perjanjian itu memberikan rakan kongsi McDonald 'pemahaman mengenai pasaran tempatan dan keupayaan yang lebih tinggi," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Steve Easterbrook, dalam satu kenyataan.

Menerusi perjanjian itu, Citic dan Citic Capital akan memiliki pegangan 52 peratus, Carlyle akan mengambil alih 28 peratus dan McDonald akan kekal 20 peratus.

Syarikat itu akan memfokuskan kepada pertumbuhan di bandar kecil serantau China dan merancang membuka lebih daripada 1,500 restoran di tanah besar dan Hong Kong dalam tempoh lima tahun akan datang.

- AFP

Berita Harian X