Isnin, 9 Januari 2017 | 11:25pm

Coca-Cola Malaysia meterai perjanjian 5 tahun dengan Morganfield's

KUALA LUMPUR: Coca-Cola Malaysia memeterai perjanjian selama lima tahun dengan syarikat rangkaian kedai makan dan restoran Amerika, Morganfield's, sebagai pembekal minuman untuk hidangan di dalam restoran, bawa pulang atau penghantaran.

Syarikat itu dalam satu kenyataan, berkata, di bawah perjanjian itu, Morganfield's akan menawarkan Coca-Cola, Coca-Cola Zero, Sprite, Fanta, Heaven and Earth Teas, Minutes Maid dan Schweppes dalam portfolionya di Malaysia.

Ini merangkumi sebanyak 14 kedai makan Morganfield's dan dua restoran yang dipanggil House.

Pengarah Komersial Coca-Cola Singapura, Malaysia dan Brunei, Gareth McGeown, berkata Morganfield menjadi terkenal dengan masakan daging tulang rusuknya sejak dibuka di Malaysia kira-kira lima tahun lalu, manakala Coca-Cola menjadi pilihan utama negara ini selama 80 tahun.

"Hubungan ini memberi peluang untuk membina kekuatan kedua-dua pihak.

"Dengan portfolio yang kukuh dari restoran di Malaysia, Singapura, Filipina dan China, kami amat teruja untuk memulakan hubungan dengan Morganfield's sebagai rakan kongsi minuman mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Morganfield's dan House, Jeffrey Goh, berkata restoran itu juga akan menggunakan kola sebagai bahan utama mereka untuk memasak daging tulang rusuk mereka yang terkenal, Lemon Cola Baby Back, dan Coca-Cola sudah pasti akan menambah keenakannya.

"Akhirnya, kami percaya perkongsian ini akan memberi manfaat kepada pelanggan setia kami kerana mereka kini boleh menikmati rusuk terbaik bersama-sama dengan minuman berkarbonat terbaik di dunia, ini akan melengkapi antara satu sama lain dengan dalam menu cita rasa Amerika Syarikat," kata Goh. - BERNAMA

Berita Harian X