Khamis, 15 Disember 2016 | 11:16am

Saham KL dibuka rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah dalam dagangan awal selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah untuk kali pertama dalam tempoh setahun, kata peniaga.

Pada Jam 9.15 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) 10.50 mata lebih rendah pada 1,632.79 daripada 1,643.29 semalam. Ia dibuka 7.55 mata lebih rendah pada 1,635.74.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 194-66, manakala 139 kaunter tidak berubah, dengan 1,315 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 89.72 juta saham bernilai RM55.24 juta.

Seorang peniaga berkata, pasaran serantau termasuk bursa tempatan, menurun pada awal dagangan apabila pelabur mengambil pendekatan defensif selepas keputusan Fed menaikkan kadar faedah 25 mata asas kepada 0,5-0,75 setiap julat peratus.

"Pelabur masih gelisah disebabkan ketidakpastian mengenai pengaturan tahap kenaikan kadar faedah AS pada 2017," katanya.

Peniaga itu berkata, kadar faedah yang lebih tinggi bermakna pelabur akan mengalih wang ke dalam aset dolar AS mereka.

Indeks FBM Emas turun 60.88 mata kepada 11,430.57, Indeks FBMT100 susut 60.27 mata kepada 11,162.46 dan Indeks Syariah FBM Emas jatuh 52.07 mata kepada 11,979.60.

FBM 70 susut 29.05 mata kepada 13,132.56, namun FBM Ace menambah 4.71 mata kepada 4,719.11.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 21.70 mata kepada 7,734.89, Indeks Perusahaan susut 21.34 mata kepada 3,094.51 dan Indeks Kewangan susut 103.83 mata kepada 14,296.96.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank susut sembilan sen kepada RM7.86, TNB susut dua sen kepada RM13.98, manakala Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing turun enam sen kepada RM19.62 dan RM6.84.

Kalangan saham aktif, Bumi Armada susut 1.5 sen kepada 59.5 sen, Dnonce Technology turun satu sen kepada 27.5 sen, manakala Hibiscus Teknologi Petroleum dan MQ masing-masing susut setengah sen kepada 34 sen dan lapan sen.

Bagaimanapun, Sumatec Resources kekal tidak berubah pada 5.5 sen. - BERNAMA

Berita Harian X