Khamis, 8 Disember 2016 | 9:49pm

Aeon buka MaxValu Prime pertama di Malaysia

 POH Ying Loo . - Foto Hafiz Sohaimi
POH Ying Loo . - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Aeon Co (M) Bhd (Aeon) memperuntukkan RM5 juta bagi pembukaan cawangan MaxValu Prime di Pusat Beli-Belah Sunway Velocity, Cheras, cawangan pertama di Malaysia selepas Jepun dan Hong Kong.

Dibuka secara rasmi semalam, MaxValu Prime berkeluasan 38,000 kaki persegi itu disasarkan khusus untuk segmen pengguna kelas atasan, selain dijangka menampung keperluan penduduk sekitar seramai kira-kira 1.72 juta orang termasuk di Ampang dan Kuala Lumpur.

Pengarah Eksekutifnya, Poh Ying Loo, berkata MaxValu Prime adalah pasar raya pertama di Malaysia yang menawarkan konsep baharu dengan menjanjikan pengalaman unik kepada pengunjung menerusi pelbagai produk segar termasuk buah-buahan tropika, sayur-sayuran dan makanan sihat.

"MaxValu Prime khusus untuk mereka yang mementingkan kualiti dan keselesaan ketika membeli-belah di pasar raya," katanya kepada media sempena perasmian pembukaan MaxValu Prime di Pusat Beli-belah Velocity, Cheras, di sini, hari ini.

Antara sudut menarik yang pasti menjanjikan kelainan adalah 'Sudut Makanan' yang membariskan makanan tradisional Jepun serta keunikan budaya negara matahari terbit itu.

Selain itu, sudut daging perapan yang diserikan dengan stesen demonstrasi memasak pastinya ruang yang harus dikunjungi bagi mereka yang sentiasa sibuk dengan tugasan harian.

Menambahkan lagi keunikan pasar raya itu, pengunjung akan disambut dengan aroma memukau aneka bakeri oleh premis dari Jepun, Shokupan.

Mengulas lanjut, Ying Loo berkata, pihaknya tidak menolak untuk membuka lebih banyak cawangan MaxValu Prime di negara ini, namun perlu melihat kepada prestasi cawangan pertamanya dahulu.

"Pastinya kami ada perancangan untuk buka lebih banyak cawangan tetapi perlu lihat perkembangan cawangan pertama ini dahulu," katanya.

Ditanya mengenai pembukaan MaxValu Prime yang hampir dengan Aeon Jusco dan Aeon Big, Taman Maluri, beliau berkata, setiap jenama Aeon menawarkan konsep berlainan dan ia tidak menimbulkan sebarang persaingan tidak sihat untuk menarik pengunjung.

"Walaupun hampir antara satu sama lain, Aeon Jusco adalah gudang beli-belah berkonsepkan kekeluargaan, Aeon Big adalah pasar raya besar manakala MaxValu Prime tumpu kepada segmen pasar raya," katanya.

Info

* Menawarkan produk runcit daripada Jepun, Korea, United Kingdom,Australia, jerman dan Italy

Berita Harian X