X
Khamis, 24 November 2016 | 9:06pm
PENGERUSI DRB HICOM, Tan Sri Dr Mohd Khamil Jamil (dua dari kanan); Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Bhd Datuk Seri Syed Faisal Albar (dua dari kiri), Ahmad Fuaad (kiri) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed ketika melancarkan Proton Ertiga di Pusat Konvensyen Setia Alam, hari ini. - Foto Sairien Nafis
PENGERUSI DRB HICOM, Tan Sri Dr Mohd Khamil Jamil (dua dari kanan); Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Bhd Datuk Seri Syed Faisal Albar (dua dari kiri), Ahmad Fuaad (kiri) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed ketika melancarkan Proton Ertiga di Pusat Konvensyen Setia Alam, hari ini. - Foto Sairien Nafis

Proton muktamad kerjasama syarikat asing tahun depan

SHAH ALAM: Proton Holdings Bhd (Proton) menjangkakan kerjasama dengan syarikat pengeluar kereta asing akan dimuktamadkan menjelang separuh pertama, tahun depan. 

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata perbincangan mengenai kerjasama berkenaan sedang dijalankan dengan syarikat berkaitan, namun ia tidak boleh dijelaskan secara terperinci.

"Siri rundingan masih dilakukan dan keputusan akhir bakal dimuktamadkan menjelang separuh pertama tahun depan. 

"Setakat ini, kami sudah menyenarai pendek tiga syarikat (asing) dan akan terus mengadakan perbincangan bagi mendapatkan tawaran terbaik daripada perkongsian itu untuk membantu Proton lebih berkembang pada masa depan," katanya selepas pelancaran kenderaan pelbagai guna (MPV) kompak Proton Ertiga di sini, hari ini.

Sebelum ini, laporan portal antarabangsa menyatakan bahawa DRB-HICOM selaku pemilik Proton ingin menjual kepentingan sebanyak 51 peratus kepada rakan kongsi dari luar negara. 

Beberapa nama disenaraikan termasuk unit Volkswagen AG's Skoda, Suzuki Motor Corp, Renault SA dan syarikat induk Peugeot iaitu PSA Group. 

Perkongsian bersama rakan strategik itu adalah sebahagian syarat ditetapkan oleh kerajaan untuk penyaluran pembiayaan sebanyak RM1.5 bilion bagi menjayakan pelan pemulihan Proton sebelum ini. 

Mengulas mengenai pengembangan Proton di pasaran antarabangsa, Fuaad berkata, syarikat sudah meninjau beberapa pasaran baharu di luar negara, tetapi ia perlu diteliti sebelum mengambil sebarang keputusan untuk menerokai pasaran itu. 

"Kami sudah mengeksport Proton di enam negara dan kini masih meninjau pasaran baharu untuk memperkenalkan rangkaian model terbaharu kami seperti Iriz, Saga dan Persona," katanya.

Info:

  • Proton ditubuhkan pada tahun 1983 dan anak syarikat milik penuh DRB-Hicom Bhd
  • Ia adalah syarikat pembuat kereta terbesar di Malaysia dan satu-satunya syarikat pengeluar kereta sepenuhnya di Asia Tenggara.
Berita Harian X