Khamis, 24 November 2016 | 10:09am

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan lebih rendah pagi ini disebabkan kuasa membeli lemah susulan sentimen negatif menyelubungi pasaran.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,627.76 mata, susut 2.62 mata daripada 1,630.38 penutup Rabu.

Indeks itu dibuka 1.01 mata lebih rendah pada 1,629.37.

Kaunter untung menyamai rugi pada 79, dengan 129 kaunter tidak berubah, 1,444 tidak didagangkan dan 42 yang lain digantung.

Sejumlah 54.41 juta saham bertukar tangan bernilai RM17.43 juta.

Pedagang berkata, prospek kadar faedah AS yang lebih tinggi menjurus pelabur mengalih wang mereka daripada pasaran membangun.

Dalam kalangan kaunter utama, TNB dan Maybank susut dua sen setiap satu masing-masing kepada RM14.22 dan RM7.7, Public Bank jatuh empat sen kepada RM19.52, manakala Petronas Chemicals dan IHH Healthcare mendatar masing-masing pada RM6.9 dan RM6.43.

Dalam kalangan kaunter rugi, BAT jatuh 64 sen kepada RM43.86, F&N susut 20 sen kepada RM23.4, Can-One jatuh 15 sen kepada RM3.59, manakala Genting turun sembilan sen kepada RM8.06.

Dalam kalangan kaunter aktif, Green Packet naik 1.5 sen kepada 27.5 sen, manakala Sumatec, Berjaya Corp dan Perisai Petroleum mendatar masing-masing pada enam sen, lima sen dan 6.5 sen.

Indeks FBM EMAS jatuh 15.18 mata kepada 11,488.69, FBMT100 turun 14.96 mata kepada 11,165.51 dan FBM EMAS Shariah jatuh 12.56 mata kepada 12,047.0, FBM 70 jatuh 6.89 mata kepada 13,272.03.

FBM ACE mengukuh 17.13 mata kepada 4,984.78. - BERNAMA

Berita Harian X