Isnin, 21 November 2016 | 5:13pm
KEDUDUKAN terkini hutang kerajaan persekutuan pada akhir September lalu adalah sebanyak RM643.6 bilion atau 52.2 peratus daripada KDNK, dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana. - Foto hiasan
KEDUDUKAN terkini hutang kerajaan persekutuan pada akhir September lalu adalah sebanyak RM643.6 bilion atau 52.2 peratus daripada KDNK, dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana. - Foto hiasan

Rizab antarabangsa negara meningkat AS$2.5b

KUALA LUMPUR: Kedudukan rizab antarabangsa negara meningkat sebanyak AS$2.5 bilion kepada AS$97.8 bilion sehingga 31 Oktober 2016, berbanding AS$95.3 bilion direkodkan pada akhir 2015.

Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini, berkata paras rizab terkini itu mencukupi untuk membiayai 8.4 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar negara bagi jangka pendek.

Kementerian itu menjawab pertanyaan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) mengenai rizab Bank Negara Malaysia, pertumbuhan ekonomi semasa negara, kedudukan hutang, kedudukan pasaran modal dan diversifikasi ekonomi negara.

Kementerian itu menjelaskan, bagi tempoh suku ketiga 2016, ekonomi negara terus berkembang dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.3 peratus.

"Pertumbuhan yang menggalakkan ini disokong oleh ekonomi domestik yang berdaya tahan dengan sektor swasta kekal memacu pertumbuhan ekonomi. Pembentukan modal tetap kasar (GFCF) berkembang 2 peratus disokong oleh pelaburan awam dan swasta," katanya.

Menurutnya, kedudukan terkini hutang kerajaan persekutuan pada akhir September lalu adalah sebanyak RM643.6 bilion atau 52.2 peratus daripada KDNK, dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana.

"Daripada jumlah hutang tersebut, 96.5 peratus (RM620.8 bilion) adalah hutang domestik, sementara 3.5 peratus (RM22.8 bilion) merupakan pinjaman luar pesisir," menurut kementerian itu.

Kedudukan pasaran modal tempatan pula kekal berdaya tahan berdasarkan saiz pasaran bon, pasaran sukuk global, prestasi indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dan modal pasaran yang dicatatkan Bursa Malaysia, menurutnya.

"Pada 30 September lalu, indeks FBM KLCI mencatat perkembangan sebanyak dua peratus kepada 1652.55 mata dengan prestasi modal pasaran berkembang sebanyak 6 peratus. Pegangan saham asing ke atas ekuiti negara pula meningkat kepada 23 peratus," katanya.

Berhubung aspek diversifikasi ekonomi, bagi tempoh separuh pertama 2016, sektor perkhidmatan menyumbang sebanyak 54 peratus kepada KDNK negara diikuti sektor pembuatan (24 peratus), sektor pertanian (7.7 peratus), perlombongan (9.2 peratus) dan pembinaan (4.6 peratus). - BERNAMA

Berita Harian X