Selasa, 15 November 2016 | 10:41pm

Malindo Air dipilih Syarikat Penerbangan Serantau Asia Pasifik Tahunan

KETUA Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy (dua dari kiri) menunjukkan anugerah yang diterima pada majlis Anugerah Kecemerlangan Penerbangan Asia Pasifik CAPA 2016 di Singapura. - Foto Facebook
KETUA Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy (dua dari kiri) menunjukkan anugerah yang diterima pada majlis Anugerah Kecemerlangan Penerbangan Asia Pasifik CAPA 2016 di Singapura. - Foto Facebook

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tempatan, Malindo Air, dipilih sebagai Syarikat Penerbangan Serantau Asia Pasifik Tahunan bagi tahun ini.

Anugerah itu disampaikan pada majlis Anugerah Kecemerlangan Penerbangan Asia Pasifik CAPA 2016, yang berlangsung sempena Persidangan Asia Pasifik Pusat Penerbangan Asia Pasifik (CAPA) di Singapura, malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy, berkata anugerah itu adalah satu pengiktirafan atas dedikasi kakitangannya dalam memastikan syarikat itu kekal bersaing dalam industri penerbangan.

"Malindo Air sentiasa mengutamakan pelanggan dalam segala tindakan dan kami sentiasa berusaha mewujudkan pengalaman terbaik untuk mereka.

"Saya yakin pengiktirafan yang diberikan kepada Malindo Air adalah berdasarkan keselesaan dan perkhidmatan ditawarkan menerusi rangkaian penerbangan yang pesat berkembang menerusi benua Asia dan Australia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi meraikan kejayaan itu, Malindo Air menawarkan promosi tambang bagi satu juta tempat duduk, bermula pada harga RM69 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang ke Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Langkawi dan Johor Bahru.

Selain itu, tawaran bermula RM109 dari KLIA ke Singapura, Bangkok dan Hanoi serta RM299 dari KLIA ke Perth, Mumbai, dan Hong Kong, bermula sekarang hingga 27 November untuk tarikh penerbangan di antara 1 Januari hingga 30 September tahun depan.

Anugerah Kecemerlangan Penerbangan Asia Pasifik CAPA memberi pengiktirafan kepada syarikat penerbangan dan lapangan terbang yang berjaya serta menunjukkan kepemimpinan kepada industri dalam persekitaran baharu.

Berita Harian X