Isnin, 14 November 2016 | 12:30am

Melabur mampu kembangkan simpanan

PENASIHAT Pelaburan dan Perancangan Kewangan yang juga Pengarah Jupiter Research Sdn Bhd, Nazarry Rosli. - Foto Saddam Yusoff
PENASIHAT Pelaburan dan Perancangan Kewangan yang juga Pengarah Jupiter Research Sdn Bhd, Nazarry Rosli. - Foto Saddam Yusoff

SIKIT-SIKIT lama-lama menjadi bukit. Menggandakan atau mengembangkan wang simpanan bukan mudah bagi semua individu.

Ia memerlukan komitmen, kesabaran yang tinggi dan ilmu kewangan yang mendalam bagi menjayakan misi bebas kewangan dalam tempoh tertentu.

Dengan hanya menyimpan di bank mengikut kaedah konvensional, ia mungkin akan mengambil masa agak lama untuk mendapatkan pulangan yang tinggi memandangkan faedah ke atas simpanan yang diberi oleh sesetengah bank adalah pada kadar yang sangat rendah. 

Justeru, masyarakat terutama generasi muda yang baru memasuki alam pekerjaan perlu bijak memilih instrumen terbaik untuk berupaya mengembangkan wang simpanan yang ada.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa pentingnya perancangan kewangan dan mengembangkan simpanan? Jawapannya mudah, ia bagi memudahkan seseorang merancang masa depan dengan lebih terurus, di samping menjamin kualiti hidup yang lebih baik.

Dapatkan khidmat penasihat kewangan

Penasihat Pelaburan dan Perancangan Kewangan yang juga Pengarah Jupiter Research Sdn Bhd, Nazarry Rosli, berkata melabur adalah langkah terbaik bagi seseorang untuk mengembangkan saiz tabungan simpanan.

"Ia perlu dilakukan oleh sesiapa sahaja yang baru memasuki alam pekerjaan. Semasa dapat sahaja pendapatan pertama, anda perlu fikirkan bagaimana simpanan daripada gaji pertama mampu dikembangkan. 

"Setiap daripada kita harus lalui proses melabur. Simpan di bank adalah perkara asas dan ia harus dijadikan sebagai asas untuk memupuk diri supaya lebih berdisiplin, sekali gus meneroka dunia pelaburan.

"Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang ilmu mengenai pelaburan, mereka boleh mendapatkan khidmat penasihat kewangan, kunjungi bank tempatan atau Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi mendapatkan pemahaman lebih jelas mengenai dana pelaburan yang ditawarkan,"  katanya kepada media sempena majlis Santai Labur PNB bertajuk 'Kepentingan Melabur Dan Merancang Kewangan Untuk Membina Kewangan Yang Kukuh', baru-baru ini.

Beliau berkata, bagi mereka yang mahu berjinak dengan skim pelaburan, melabur di dalam unit amanah di bawah PNB adalah yang terbaik kerana risikonya yang kurang dan lebih selamat berbanding unit amanah yang ditawarkan oleh institusi lain.

Bagaimanapun, Nazarry mengakui, golongan Bumiputera lebih sensitif dengan kadar pulangan sehingga terlupa konsep pulangan tinggi berisiko tinggi.

"Ramai Bumiputera mahu melabur tetapi tiada ilmu. Mereka terjebak dengan tawaran pulangan yang tinggi tetapi tidak tahu risiko yang menanti. Pendek kata, perlu ada pemahaman dan ilmu pelaburan dahulu," katanya.

Beliau berkata, pelabur yang mahu berjinak-jinak dengan skim pelaburan boleh memilih Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang mana ia adalah satu skim pendapatan berfungsi untuk menjana pulangan jangka panjang yang kompetitif dan konsisten kepada pemegang unit.  

Mengenai sikap pelabur yang gemar mengeluarkan dividen tahunan diperoleh, Nazarry berkata, perkara itu ibarat sudah sinonim dengan sikap pelabur tempatan.

Katanya, setiap minda masyarakat tempatan perlu diubah dari awal supaya tidak berbelanja mengikut kehendak dan menggunakan dividen tahunan untuk perkara yang tidak berfaedah.

"Jika kita niat nak guna dividen itu setiap tahun, ia tidak akan berkembang dan bercanggah dengan konsep menabung untuk masa depan," katanya.

 SKIM Amanah Saham Bumiputera (ASB) mampu menjana pulangan jangka panjang yang kompetitif.
SKIM Amanah Saham Bumiputera (ASB) mampu menjana pulangan jangka panjang yang kompetitif.

Guna dividen tutup hutang

Bagaimanapun, beliau berkata, dividen untuk tahun pertama boleh digunakan bagi mereka yang mahu menutup hutang yang mengenakan faedah tinggi seperti hutang kad kredit dan hutang lain yang tidak memberi manfaat jangka panjang kepada pelabur.

"Selepas itu, cuba gunakan dividen untuk hapuskan hutang jangka sederhana seperti pembiayaan kenderaan supaya sasaran bebas kewangan dapat dicapai dalam tempoh yang cepat," katanya.

Pendek kata, ketahuilah jenis produk simpanan yang ditawarkan dan pilih mengikut keperluan dan wawasan pelaburan anda. Sebelum membuat sebarang pelaburan, kenali dengan jelas jenis pelaburan yang ditawarkan dan ketahui matlamat sebenar pelaburan yang bakal dilakukan. Padankan matlamat pelaburan dengan profil pelaburan anda. 

Pada dasarnya, pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan mempunyai risiko tinggi. Jangan sesekali melabur berlandaskan naluri tanpa merujuk kepada maklumat yang sahih. Elakkan juga menyertai pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tidak munasabah dalam jangka masa yang singkat kerana anda mungkin terperangkap dengan Skim Cepat Kaya.

Jika ingin membuat pelaburan tetapi tiada pengetahuan kewangan yang mencukupi, boleh mempertimbangkan untuk mendapatkan khidmat perancang kewangan berlesen atau menerokai produk pelaburan yang ditawarkan oleh institusi kewangan berlesen sedia ada.

Info Amanah Saham Bumiputera (ASB)

  • Dilancarkan 2 Januari 1990
  • Unit amanah ini kedua dikeluarkan oleh PNB selepas skim Amanah Saham Nasional (ASN)
  • Hanya terbuka kepada Bumiputera

Kelebihan melabur dalam ASB:

  • Tidak perlu membuat bayaran pendahuluan seperti yuran pemprosesan, pengurusan
  • Tiada sebarang susut nilai terhadap wang yang dilaburkan
  • Pulangan pelaburan dijamin oleh kerajaan
  • ASB memberikan pelaburnya bonus bagi setiap unit pelaburan yang dibuat. Bonus unit dikira pada 31 Disember setiap tahun
  • Sijil ASB boleh dicagarkan di bank tempatan untuk mendapatkan pinjaman dalam bentuk overdraft bank

Apakah Unit Amanah?

  • Skim pelaburan yang mengumpulkan daripada ramai pelabur yang mempunyai matlamat kewangan yang sama.
  • Ia kemudian diberikan kepada pengurus dana sepenuh masa yang akan melabur dalam saham atau sekuriti yang dibenarkan bagi pihak pelabur.
  • Aktiviti pihak pengurus dana dan wang pelabur dipantau serta diawasi oleh badan yang dipanggil pemegang amanah.
Berita Harian X