Rabu, 2 November 2016 | 1:15pm

'Maybank Woman Eco Weavers' diperluas ke Indonesia

MEGAT Zaharuddin (dua dari kiri) selepas melancarkan program 'Maybank Women Eco Weavers' di Lombok, Indonesia, hari ini.
MEGAT Zaharuddin (dua dari kiri) selepas melancarkan program 'Maybank Women Eco Weavers' di Lombok, Indonesia, hari ini.

LOMBOK: Yayasan Maybank hari ini melancarkan 'Maybank Woman Eco Weavers', program latihan tenunan untuk wanita luar bandar bertujuan mempromosi dan meningkatkan industri tekstil tenun tempatan ke peringkat global.

Pengerusi Kumpulan Maybank dan Yayasannya, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, berkata program sedemikian bermula di Kemboja pada tahun lalu sebelum diperluaskan ke Indonesia tahun ini.

Katanya, seramai 400 wanita tempatan akan diberi latihan tenunan selama tiga tahun membabitkan empat kawasan iaitu Lombok Tengah dan Lombok Timur di Nusa Tenggara Barat serta Sawahlunto dan Tanah Datar di Sumatera Barat.

"Latihan yang akan diberi termasuk teknik dan pengetahuan mengenai tenunan, proses pewarna semula jadi, pemasaran, promosi dan kewangan.

"Selain latihan, kita juga akan menyediakan sokongan modal dari segi pembiayaan mikro kepada semua wanita yang terbabit ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program CSR itu di Mataram, di sini, sebentar tadi. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank Indonesia, Taswin Zakaria dan CEO Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin.

Sementara itu, Shahril Azuar, berkata pihaknya merancang untuk melancarkan program sama ke Laos pada tahun depan bagi membantu penenun wanita di sana.

Selain itu, katanya, pihaknya turut merancang untuk mengembangkan program itu ke dua negara ASEAN lain antaranya mungkin di Vietnam, Filipina atau Malaysia.

"Namun ketika ini ia masih di peringkat perbincangan dan kita akan umumkan mengenainya apabila ia sudah dimuktamadkan," katanya.

Berita Harian X