Selasa, 11 Oktober 2016 | 9:00pm

Barkath sasar keluar 30 juta pek setahun minuman terbaharunya

KETUA Pegawai Eksekutif Barkath Manufacturing Sdn Bhd, Datuk Seri Barkath Ali Abu Backer (dua dari kanan) bersama wakil dari Barkath Co-Ro Manufacturing Sdn Bhd semasa melawat Kilang Sunquick Fruit Drinks (Barkath Manufacturing Sdn Bhd) di Kawasan Perusahaan Sungai Lokan, Sungai Dua, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar
KETUA Pegawai Eksekutif Barkath Manufacturing Sdn Bhd, Datuk Seri Barkath Ali Abu Backer (dua dari kanan) bersama wakil dari Barkath Co-Ro Manufacturing Sdn Bhd semasa melawat Kilang Sunquick Fruit Drinks (Barkath Manufacturing Sdn Bhd) di Kawasan Perusahaan Sungai Lokan, Sungai Dua, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar

Barkath Co-Ro Manufacturing Sdn Bhd (Barkath), syarikat pengeluar minuman jus Sunquick, menyasar mengeluarkan 30 juta pek produk air minuman buah-buahan terbaharunya, bermula bulan ini sehingga Disember 2017.

 

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Barkath Ali Abu Backer, berkata sasaran selama setahun itu diyakini mampu dicapai berdasarkan sambutan menggalakkan penggemar minuman buah-buahan di negara ini, selain pelanggan dari Asia Tenggara.

 

Beliau berkata, syarikat itu sebelum ini sudah menguji pasaran air minuman buah-buahan terbabit pada Ogos lalu dan ternyata ia memberi kesan positif apabila ramai yang menggemarinya berikutan konsepnya yang sedia untuk diminum.

 

"Kita menjalankan penyelidikan mengenai penggubalan produk ini selama lima tahun untuk menghasilkan produk minuman buah-buahan yang sedia diminum.

 

"Melalui proses itu, akhirnya kita berjaya mengeluarkan produk air minuman ini dengan memperkenalkan tiga perisa baharu iaitu Beri, Epal dan Mangga, selain Oren yang sentiasa menjadi pilihan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri pelancaran produk minuman buah-buahan berkenaan di kilang syarikat itu di Sungai Lokan, Bagan Lalang, Butterworth, hari ini.

Barkath Ali berkata, dalam usaha mencapai sasaran penjualan produk minuman terbaharu itu, syarikat berkenaan melabur sehingga RM20 juta bagi meningkatkan fasiliti serta menaik taraf kilang pengeluaran.

 

Katanya, pek minuman empat perisa itu diperkayakan dengan perisa buah-buahan sebenar dan ia boleh didapati di kedai runcit utama di seluruh negara mulai bulan ini.

 

"Produk minuman buah-buahan itu boleh didapati dalam dua saiz pilihan iaitu 125 mililiter (ml) dan 200ml dan ia sesuai untuk kanak-kanak yang berusia antara empat hingga sembilan tahun," katanya.

 

Berita Harian X