Selasa, 27 September 2016 | 1:34pm

Bank Islam lancar Kad Debit-i Pahang FA

BANK Islam Malaysia Bhd dengan kerjasama PFA dan Visa melancarkan Kad Debit-i Pahang FA. - Foto Facebook Bank Islam
BANK Islam Malaysia Bhd dengan kerjasama PFA dan Visa melancarkan Kad Debit-i Pahang FA. - Foto Facebook Bank Islam

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Pahang (PFA) dan Visa melancarkan Kad Debit-i Pahang FA, khusus untuk penyokong setia pasukan Tok Gajah.

Dijenamakan sebagai Kad Debit-i Bank Islam Visa Pahang FA, kad itu direka secara eksklusif bagi membolehkan peminat PFA menunjukkan kesetiaan kepada pasukan, selain menyumbang terhadap pembangunan PFA yang mana sebahagian daripada fi tahunan kad akan disalurkan kepada persatuan itu.

Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat, berkata antara lain pemegang kad itu di Pahang akan menikmati manfaat kad sebagai kad ATM dan kad Debit dengan fungsi payWave tanpa sentuh.

Katanya, pemegang kad juga boleh membuat pengeluaran tunai tanpa caj tambahan melalui perkhidmatan 'pengeluaran tunai' Bank Islam di 70 stesen minyak Petronas di sekitar Pahang.

Beliau berkata, pelancaran Kad Debit-i Bank Islam Visa Pahang FA adalah sebahagian daripada strateginya untuk bekerjasama dengan jenama terkemuka bagi menambah nilai kepada pelanggan.

"Bank Islam komited dalam mempromosikan transaksi tanpa tunai di Malaysia dan kad debit jenama bersama adalah salah satu strategi kami bagi menembusi serta menggalakkan pelanggan untuk mengalami pengalaman tersendiri dengan menggunakan Kad Debit-i Bank Islam," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis pelancaran Kad Debit-i Jenama Bersama Dengan Kerjasama PFA di Kuantan, semalam. Turut hadir, Timbalan Presiden PFA, Datuk Seri Muhammad Saffian Ismail.

Pada majlis sama, Bank Islam turut melancarkan Kempen Bank Islam Visa Debit Pahang FA "Ale Ale Tok Gajah".

Zukri berkata, dengan perbelanjaan minimum RM50, pemegang kad layak secara automatik untuk menyertai kempen dan berpeluang memenangi hadiah wang tunai bernilai RM15,500.

Kempen bermula 26 September hingga 31 Disember 2016.

Info

* Maklumat lanjut, layari www.bankislam.com.my

* Kad Debit-i Bank Islam Visa Pahang FA boleh didapati di semua cawangan Bank Islam di Pahang dan cawangan terpilih di Lembah Klang.

Berita Harian X