Rabu, 10 Ogos 2016 | 5:41pm

Sungai Pahang akan jana tenaga elektrik

TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Pengerusi Makmur Hidro, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Touch Meccanica, Tengku Datuk Abdul Aziz Tengku Ibrahim pada majlis pemeteraian perjanjian pemegang saham antara Makmur Hidro dan Touch Meccanica di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Abdullah Yusof
TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Pengerusi Makmur Hidro, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Touch Meccanica, Tengku Datuk Abdul Aziz Tengku Ibrahim pada majlis pemeteraian perjanjian pemegang saham antara Makmur Hidro dan Touch Meccanica di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR: Projek jana kuasa hidro mini pertama memanfaatkan aliran sungai di negara ini akan dibangunkan di Pahang seawal tahun depan.

Projek jana kuasa hidro 30 megawatt bernilai RM350 juta di Lubuk Paku, Maran, Pahang itu akan dibangun dan dilaksanakan Touch Makmur Hidro Sdn Bhd, syarikat tujuan khas

(SPV) yang ditubuhkan antara Makmur Hidro Sdn Bhd dan Touch Meccanica Sdn Bhd.

Pengerusi Makmur Hidro, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, berkata keunikan inisiatif tenaga diperbaharui itu akan memanfaatkan Sungai Pahang sebagai sumber alternatif bagi penjanaan tenaga elektrik untuk kegunaan penduduk setempat.

"Projek itu dijangka memberikan impak positif berikutan ia akan membantu memakmur dan memacu aktiviti sosio ekonomi di Lubuk Paku dan kawasan berhampiran," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian perjanjian pemegang saham antara Makmur Hidro dan Touch Meccanica di sini, hari ini.

Majlis pemeteraian perjanjian itu disaksikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Touch Meccanica, Tengku Datuk Abdul Aziz Tengku Ibrahim dan Pengarah Urusan Makmur Hidro, Mohd Fozae Samad.

Anwar berkata, perjanjian pemegang saham antara Makmur Hidro dan Touch Meccanica bagi tujuan penubuhan Touch Makmur Hidro, SPV, yang dipertanggungjawabkan membangun dan melaksanakan projek jana kuasa hidro pertama memanfaatkan aliran sungai di negara ini.

Beliau berkata, Touch Makmur Hidro ditubuhkan sebagai pelopor pembangun, pelaksanaan dan penyelenggaraan projek yang dijangka siap pada 2020 membabitkan anggaran kos pembinaan RM350 juta.

Makmur Hidro menguasai 55 peratus kepentingan dalam SPV itu, manakala baki oleh Touch Meccanica, katanya.

Touch Meccanica adalah anak syarikat Touch Group Holdings Sdn Bhd, adalah syarikat pegangan pelaburan terbabit dalam perniagaan menara telekomunikasi, pembangunan hartanah, pembinaan, perladangan, projek infrastruktur, hotel, pelancongan, ICT dan perkhidmatan keselamatan.

Beliau berkata, pihaknya meletakkan tempoh satu tahun bagi mendapatkan pembiayaan projek itu.

Sementara itu, Fozae berkata Makmur Hidro sudah mengenal pasti rakan teknologi luar negara bagi cadangan pembangunan jana kuasa hidro mini itu.

"Kami sedang berbincang dengan pelbagai pihak dari Korea Selatan dan Eropah. Ia belum dimuktamadkan dan pengumuman akan dibuat sejurus ia dimuktamadkan nanti," katanya.

Beliau berkata, sungguhpun Makmur Hidro sebuah syarikat baharu, ia mendapat sokongan dan kepakaran syarikat induk, Smart Hydro Sdn Bhd yang juga sebahagian daripada Green and Smart Holdings Plc yang disenaraikan di bursa saham London.

Green & Smart Holdings adalah syarikat pegangan pelaburan terbabit dalam sektor tenaga diperbaharui di Malaysia.

Kumpulan itu memiliki rekod pencapaian dalam menawarkan penyelesaian air kumbahan bagi industri minyak sawit dan sentiasa mencari peluang memanfaatkan dasar kerajaan dalam meningkatkan pengeluaran tenaga elektrik daripada tenaga diperbaharui.

Berita Harian X