Selasa, 26 Julai 2016 | 7:09pm

PROTON bakal lancar 3 model baharu bulan depan

SHAH ALAM: PROTON Holdings Bhd bakal melancarkan tiga model baharu berturut-turut bermula bulan hadapan sebagai usaha untuk meningkatkan kembali prestasi jualan kenderaan keluarannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata jualan kenderaan PROTON menurun sejak beberapa tahun kebelakangan berikutan persaingan yang semakin sengit.

Beliau berkata, pengeluar kereta nasional itu tiada pilihan dan perlu menampilkan model baharu dengan kualiti serta ciri dipertingkat untuk terus berdaya saing.

"Kami akan melancarkan model baharu Persona bulan depan, diikuti Saga baharu pada September dan Ertiga pada Oktober.

"Diharap model baharu yang akan dilancarkan mampu meningkatkan kembali jualan dan penguasaan pasaran PROTON," katanya kepada media sempena sesi pandu uji Perdana baharu dari Shah Alam ke Melaka di sini, hari ini.

Penguasaan pasaran PROTON untuk segmen kenderaan penumpang di negara ini kini merosot kepada hampir 15 peratus berbanding kira-kira 70 peratus di zaman kegemilangannya.

Ahmad Fuaad berkata, dalam kalangan tiga model baharu yang bakal dilancarkan, PROTON menyandarkan harapan kepada Saga dan Persona baharu untuk kembali menyemarakkan jualannya.

"Saga adalah model terlaris PROTON dengan lebih 1.2 juta unit dijual sejak diperkenalkan kira-kira 20 tahun lalu.

"Ertiga yang juga kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen B pula bakal menambah penawaran kami untuk penggemar MPV selain model popular Exora," katanya.

Ertiga ialah model pertama yang akan dikeluarkan oleh PROTON menerusi kerjasama dengan pengeluar kereta Jepun, Suzuki.

Mengenai Perdana baharu yang dilancarkan awal bulan ini, Ahmad Fuaad berkata, berdasarkan sambutan diterima setakat ini, pihaknya yakin mampu mencapai sasaran jualan 6,000 unit dalam tempoh 12 bulan.

Beliau berkata, setakat semalam pihaknya sudah menerima 1,100 tempahan untuk model berkenaan dengan 175 unit sudah didaftarkan.

"Kami yakin capai jualan Perdana baharu ini mampu mencecah 3,000 unit menjelang akhir tahun dan 6,000 unit tahun depan," katanya.

Info

Proton Perdana Baharu

* Dilancarkan awal bulan ini

* Terima 1,100 tempahan setakat ini.

* 175 unit sudah didaftarkan

* Yakin capai sasaran jualan 6,000 unit dalam tempoh 12 bulan

Berita Harian X