Jumaat, 22 Julai 2016 | 6:59pm

RHB sasar tambah pelanggan mewah

PENGARAH Eksekutif yang juga Ketua Perbankan Runcit Kumpulan RHB Bank Bank Berhad, U Chen Hock. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PENGARAH Eksekutif yang juga Ketua Perbankan Runcit Kumpulan RHB Bank Bank Berhad, U Chen Hock. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: RHB Banking Group menyasarkan peningkatan 30 peratus pelanggan premier baharu menerusi pengenalan perkhidmatan baharu RHB Premier, berbanding kurang daripada 30,000 pelanggan pada masa ini.

Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Perbankan Runcit Kumpulannya, U Chen Hock, berkata RHB Premier direka eksklusif untuk memberi ganjaran kepada pelanggan segmen mewah dan orang tersayang dengan keistimewaan yang mengutamakan mereka terlebih dahulu.

Beliau berkata, pada masa ini, hanya dua peratus daripada 3.9 juta pelanggan RHB Banking Group terdiri daripada segmen mewah.

"Sejajar dengan pertumbuhan kemewahan rakyat, kami lihat peluang besar untuk meneroka lebih jauh segmen ini.

"Kami menyasarkan pertumbuhan sebanyak 85 peratus menjelang 2020," katanya pada majlis pelancaran RHB Premier, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, RHB turut memperkenalkan RHB Premier Visa Infinite Credit dan keistimewaan kad debit yang menggembirakan pelanggan dengan mata ganjaran, keistimewaan golf, 'lounge' dan perjalanan.

Mengulas lanjut, Chen Hock berkata, RHB Premier diperkenalkan sebagai sebahagian rancangan untuk menawarkan perkhidmatan lebih baik dan pengalaman gaya hidup kepada pelanggan mewah mereka.

Setakat bulan ini, beliau berkata, RHB Premier mempunyai 18 pusat khusus di seluruh negara dan ia disasarkan untuk menambah lima lagi menjelang 2017.

Berita Harian X