Rabu, 20 Julai 2016 | 8:10pm
HARGA saham di Bursa Malaysia ditutup lebih rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang berterusan, ketika pemotongan kadar pertumbuhan global oleh IMF memberi tekanan ke atas sentimen pasaran, kata peniaga. - Foto hiasan
HARGA saham di Bursa Malaysia ditutup lebih rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang berterusan, ketika pemotongan kadar pertumbuhan global oleh IMF memberi tekanan ke atas sentimen pasaran, kata peniaga. - Foto hiasan

Saham KL ditutup lebih rendah berikutan unjuran IMF

KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia ditutup lebih rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang berterusan, ketika pemotongan kadar pertumbuhan global oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi tekanan ke atas sentimen pasaran, kata peniaga.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 0.94 mata atau 0.06 peratus lebih rendah kepada 1,669.61. Indeks penanda aras yang dibuka 1.06 lebih rendah pada 1,669.49, berkisar di antara 1,664.01 dan 1,669.80 sepanjang hari.

Peniaga berkata, pasaran serantau bercampur-campur selepas IMF mengumumkan ia menjangka pertumbuhan global 3.1 peratus tahun ini dan 3.4 peratus pada 2017.

Semakan semula itu dibuat sebulan selepas United Kingdom mengundi untuk meninggalkan Kesatuan Eropah, adalah 0.1 mata lebih rendah berbanding unjuran pada April, katanya.

Ketua Penyelidik Mercury Securities, Edmund Tham, berkata unjuran IMF bukan sahaja menjejaskan Malaysia, tetapi juga pasaran global. Di Bursa, kerugian disekat oleh minat belian dalam stok pembinaan dan hartanah berikutan pemeteraian memorandum persefahaman projek kereta api laju menghubungkan Malaysia dan Singapura.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 435 berbanding 366 dengan 370 kaunter tidak berubah, 530 tidak diniaga dan 17 lagi digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 1.93 bilion unit bernilai RM1.64 bilion berbanding 1.88 bilion unit bernilai RM2.01 bilion pada Selasa.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank jatuh empat sen kepada RM8.12, TNB dan Axiata tidak berubah masing-masing pada RM14.30 dan RM5.75 manakala Public Bank naik dua sen kepada RM19.56.

IHH Healthcare meningkat lima sen kepada RM6.60 dan Petronas Chemicals naik 13 sen kepada RM6.63. Antara saham aktif, Borneo Oil menambah setengah sen kepada 19 sen, Hiap Teck untung dua sen kepada 29 sen, Vivocom susut setengah sen kepada 27.5 sen dan Eka Noodles tidak berubah pada 8.5 sen.

Indeks Emas FBM turun 2.43 mata kepada 11,678.43, Indeks FBMT 100 merosot 6.00 mata kepada 11,373.87 dan Indeks Syariah Emas FBM naik 7.28 mata kepada 12,261.27.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.27 bilion unit bernilai RM1.52 bilion berbanding 1.26 bilion unit bernilai RM1.89 bilion pada Selasa.

Volum Pasaran ACE menokok 391.39 juta saham bernilai RM79.64 juta berbanding 379.92 juta saham bernilai RM78.77 juta. - BERNAMA

Berita Harian X