Khamis, 16 Jun 2016 | 1:37pm

Bursa Malaysia rendah pada penutup sesi pagi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia rendah pada akhir urus niaga pagi, diseret turun oleh aktiviti jualan saham wajaran tinggi terpilih, diterajui MISC dan CIMB.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 11.19 mata atau 0.69 peratus kepada 1,616.77, selepas turun naik antara 1,616.32 dan 1,629.47 di sepanjang dagangan pagi.

Indeks dibuka 0.93 mata lebih tinggi pada 1,628.89.

Bagi saham wajaran tinggi, MISC susut 27 sen kepada RM7.23, CIMB turun 11 sen kepada RM4.23, Maybank susut lapan sen kepada RM8.05, Petronas Chemicals turun sembilan sen kepada RM6.35 manakala Genting rugi 13 sen kepada RM8.04.

Bagi kaunter aktif, O&C Resources meningkat setengah sen kepada 49 sen, Bumi Armada susut dua sen kepada 70 sen, Comintel Corp turun 3.5 sen kepada 90.5 sen, AirAsia turun lima sen kepada RM2.60 manakala SapuraKencana merosot tujuh sen kepada RM1.45.

Kenanga Research, berkata tekanan menurun indeks penanda aras masih berlaku, disebabkan ringgit yang lemah, harga minyak mentah yang rendah selain ketidaktentuan ekonomi dunia.

"Dengan sentimen pelabur masih dibelenggu kebimbangan berterusan, indeks penanda aras masih dijangkakan cenderung menurun dengan menguji semula kemampanan paras sokongan 1,620," katanya dalam nota kajian hari ini.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 491 berbanding 155, manakala 332 kaunter tidak berubah, 738 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 754.89 juta saham bernilai RM646.91 juta.

Indeks FBM Emas susut 75.67 mata kepada 11,320.36, Indeks FBMT 100 merosot 74.27 mata kepada 11,020.0 Indeks FBM Emas Shariah turun 64.5 mata kepada 11,895.40.

FBM 70 susut 79.41 mata kepada 12,843.43 manakala FBM Ace mencatatkan 85.88 mata lebih rendah kepada 5,287.12.

Indeks Kewangan susut 97.76 mata kepada 13,974.6, Indeks Perladangan susut 32.04 mata kepada 7,536.6 manakala Indeks Perusahaan merosot 27.23 mata kepada 3,032.47. - BERNAMA

Berita Harian X