Selasa, 14 Jun 2016 | 10:10pm

PROTON tidak perlu sokongan kewangan tambahan

PENGERUSI PROTON Holdings Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar berucap di majlis pelancaran Proton Perdana baharu di PICC. - Foto Fariz Iswadi Ismail
PENGERUSI PROTON Holdings Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar berucap di majlis pelancaran Proton Perdana baharu di PICC. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: PROTON Holdings Bhd menegaskan ia tidak memerlukan sokongan kewangan tambahan daripada kerajaan bagi membantu meneruskan kelangsungan operasi syarikat itu selepas menerima pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion, baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Faisal Albar, berkata syarikat automotif nasional itu memiliki aliran tunai mencukupi, termasuk modal berbayar dan rizab bernilai RM1.5 bilion bagi memastikan operasi PROTON berterusan.

"PROTON tidak perlu sokongan kewangan tambahan dari kerajaan dan tidak mempunyai masalah untuk membayar pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion yang disalurkan kerajaan dalam tempoh ditetapkan," katanya selepas pelancaran model Proton Perdana serba baharu di sini, hari ini.

Baru-baru ini, PROTON menerima pinjaman mudah daripada kerajaan bernilai RM1.5 bilion, yang sebahagian besar akan digunakan untuk membayar vendor yang membekalkan komponen kepada syarikat itu.

Kerajaan sebelum ini juga memutuskan untuk melanggan RM1.25 bilion Saham Keutamaan Boleh Tukar Boleh Tebus Terkumpul (RCCPS) dalam PROTON melalui Govco Holdings Bhd (GOVCO) yang 100 peratus dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Mengulas lanjut mengenai sokongan kewangan kerajaan, Syed Faisal berkata, pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion yang disalurkan dibahagikan kepada tiga bahagian, yang mana bahagian pertama berjumlah RM1.25 bilion bagi RCCPS.

Katanya, baki RM250 juta lagi meliputi bahagian kedua akan diumumkan tidak lama lagi, manakala bahagian ketiga diumumkan Ogos ini.

"Buat masa ini, kami sedang mengkaji mod instrumen itu sama ada pinjaman langsung atau RCCPS lain " katanya.

Bagi meneruskan keupayaan PROTON, beliau berkata, syarikat itu menggariskan pelan transformasi untuk memacu pertumbuhan PROTON pada masa depan.

"Kami tidak hanya menumpukan jumlah jualan semata-mata, malah akan fokus dari segi kualiti, produk baharu dan kerjasama strategik dengan pengeluar kenderaan asing seperti dikehendaki Pasukan Petugas.

"Bagi kerjasama strategik dengan syarikat asing, kami sedang mengenal pasti tawaran menarik dan ia boleh jadi pakatan strategik untuk model tertentu atau pegangan ekuiti atau kawalan dalam syarikat," katanya.

Info:

PROTON Holdings Bhd

* Ditubuhkan pada 1983

* Anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Bhd

* Menawarkan pelbagai model termasuk Saga, Persona, Preve, Iriz, Suprima S dan Perdana

* Kini menguasai 18 peratus bahagian pasaran automotif di Malaysia

Berita Harian X