Selasa, 14 Jun 2016 | 3:28pm

Proton akan kenal pasti rakan kongsi strategik - CEO

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak bersama Pengerusi Proton Holdings Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd, Datuk Ahmad Fuaad Kenali selepas melancarkan Proton Perdana Baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak bersama Pengerusi Proton Holdings Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd, Datuk Ahmad Fuaad Kenali selepas melancarkan Proton Perdana Baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Proton Holdings Bhd akan mengenal pasti secara rasmi rakan kongsi strategik di bawah penyeliaan pasukan petugas khas yang baru dibentuk.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata pengeluar kereta nasional itu sudah menetapkan tempoh selama satu tahun kepada syarikat mencari rakan kongsi strategik bagi kerjasama lebih mendalam.

"Kami tidak menolak apa-apa kemungkinan kerana apabila anda bercakap mengenai kerjasama strategik, ia boleh terjadi dalam sebarang bentuk. Dalam bentuk yang lebih rendah ia boleh jadi dalam terma berkongsi model manakala dalam bentuk lebih tinggi mungkin dalam terma pegangan ekuiti," katanya selepas pelancaran Perdana generasi keempat di sini hari ini.

Perdana baharu itu diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, diiringi Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Ahmad Fuaad.

Sejak pengumuman pasukan petugas khas pada April, Ahmad Fuaad berkata, beberapa pengeluar kelengkapan tulen (OEM) telah menyatakan minat untuk membentuk kerjasama dengan Proton.

Proton akan mengeluarkan permohonan cadangan daripada semua OEM berkenaan.

Syarikat hanya mahu memastikan yang proses kerjasama itu dilakukan pada asas yang telus, oleh itu Proton menjemput semua OEM berminat untuk menyertai gerak kerja itu, tambahnya.

Proton sudah pun menjalin perkongsian strategik dengan Honda dan Suzuki.

Sejak tempahan dibuka pada Februari lalu, Proton Perdana baharu itu telah menerima kira-kira 900 tempahan di seluruh negara dan pengeluar kereta nasional itu dijangka menjual kira-kira 3,000 unit menjelang akhir tahun, kata Ahmad Fuaad.

Berharga RM113,888 dan RM138,888 untuk varian 2.0 dan 2.4, Perdana baharu 2.0 boleh dipandu uji di semua bilik pameran Proton Edar di seluruh negara.

Generasi pertama Perdana diperkenalkan kepada orang ramai pada 1992 dan hingga kini kira-kira 77,000 unit Perdana berada di jalan raya.

Mulai sekarang hingga akhir 2017, Ahmad Fuaad berkata, Perdana generasi keempat itu akan hanya dijual di pasaran domestik disebabkan kekangan oleh Honda di bawah perjanjian perkongsian platform.

Di bawah perjanjian itu, katanya, Proton dibenar mengeluarkan maksimum 7,000 unit setahun, dihadkan oleh jumlah kit pengeluaran yang Honda komited untuk bekalkan bagi projek berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, Proton merancang memperkenal varian yang dipertingkat dengan enjin dihasilkan sendiri apabila perjanjian tamat pada akhir 2017, membolehkannya memasuki pasaran asing.

Walaupun pengenalan model Perdana itu lambat berbanding jadual awal pada Januari lalu, Ahmad Fuaad yakin Proton masih boleh mencatat jualan 150,000 tahun ini.

"Perdana itu sepatutnya dilancar pada Januari. Dengan itu jualan keseluruhan (Perdana) sekitar 6,000 unit, tetapi disebabkan ia dilancar pada separuh kedua, unjuran itu dikurangkan kepada separuh.

"Kami masih boleh mencapai tahun penuh (sasaran jualan) dan dengan tiga model lain yang akan diperkenal (tahun ini), ia akan menjadi 150,000 unit," tambahnya. - BERNAMA

Berita Harian X