Isnin, 13 Jun 2016 | 3:46pm

150 program promosi produk tempatan di luar negara - MATRADE

Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Datuk Seri Mustapa Mohamed.

KUALA LUMPUR: MATRADE merancang 150 program dalam mempromosikan produk tempatan ke luar negara sepanjang tahun ini, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 85 membabitkan program promosi eksport pelbagai produk dan perkhidmatan dan 65 adalah program pembangunan pengeksport.

"Promosi kedua-dua program itu antara lainnya memfokuskan kepada sektor makanan dan minuman, sektor minyak dan gas, sektor peralatan perubatan serta sektor pembinaan dan perkhidmatan profesional," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Negara, di sini, hari ini, ketika menjawab soalan Sentor Datuk Yunus Kurus yang ingin tahu perancangan MATRADE bagi membawa produk bukan makanan ke pasaran luar negara.

MATRADE adalah agensi di bawah MITI.

Mustapa berkata, kementeriannya juga turut menumpukan kepada program untuk sektor-sektor seperti elektrik dan elektronik, teknologi maklumat dan komunikasi, bahan binaan, gaya hidup, komponen automotif, aeroangkasa dan sektor lain-lain.

Antara program promosi eksport yang dijalankan bagi sektor itu tahun ini ialah Arab Health 2016 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jan, Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Peru dan Mexico pada Mei dan SEMICON West 2016 di San Francisco, Amerika Syarikat pada 12 hingga 14 Julai ini.

Promosi eksport yang dianjurkan MATRADE berbentuk penyertaan dalam pameran perdagangan antarabangsa, misi peningkatan eksport, program penyumberan antarabangsa dan promosi 'in-store'.

"Bagi semua program itu, kementerian mengaturkan sesi padanan perniagaan antara pengimport dan pengeksport Malaysia bagi memastikan setiap program berkenaan dapat menjana hasil dari segi jualan eksport," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X