Selasa, 31 Mei 2016 | 8:58pm

RHB rancang buka cawangan baharu

PENGARAH Eksekutif, Perbankan Runcit Kumpulan, RHB Bank Bhd, U Chen Hock. - Foto Halim Salleh
PENGARAH Eksekutif, Perbankan Runcit Kumpulan, RHB Bank Bhd, U Chen Hock. - Foto Halim Salleh

KUALA LUMPUR: RHB Banking Group bercadang membuka beberapa cawangan baharu, khususnya di Lembah Klang dan Pulau Pinang bagi mengukuhkan lagi kehadirannya di pasaran tempatan.

Pengarah Eksekutif, Perbankan Runcit Kumpulan, RHB Bank Bhd, U Chen Hock, berkata masih terdapat ruang yang besar untuk kumpulan perkhidmatan kewangan bersepadu penuh keempat terbesar di Malaysia itu meningkatkan jumlah cawangannya di negara ini.

Beliau berkata, majoriti pengguna masih lagi berminat untuk mengunjungi sendiri ke cawangan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk dengan bertemu secara langsung dengan pegawai bertugas.

"Meskipun terdapat aliran meningkat dari segi akses produk kewangan secara dalam talian, sebahagian besar pelanggan suka datang sendiri ke cawangan," katanya ditemui pada majlis penyampaian hadiah pemenang Peraduan Drive Easy Sweepstakes sempena kempen "Get More" di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Jirnexu, Siew Yuen Tuck.

Mengulas kerjasama dengan laman web terkemuka dalam bidang perkhidmatan perbankan dan insurans di Malaysia, RinggitPlus.com, Chen Hock berkata, pihaknya komited untuk meneruskan kerjasama strategiknya itu dalam menawarkan produk kewangan kepada pelanggan dengan lebih meluas secara dalam talian.

Katanya, kerjasama pertama antara kedua-dua pihak menerusi kempen "Get More" mencatatkan kejayaan memberangsangkan dengan 1,513 permohonan pinjaman diluluskan bernilai RM17.761 juta.

Beliau berkata, kejayaan kempen itu juga sekali gus membuktikan rakyat negara ini benar-benar menghargai kaedah perbankan yang lebih cekap, mudah dan berasaskan internet.

"Kami memilih bekerjasama dengan RinggitPlus.com kerana mereka menawarkan cara yang mudah dan cepat bagi pengguna untuk memilih produk pembiayaan yang menepati keperluan mereka," katanya.

Mengenai prospek pertumbuhan perbankan runcit tahun ini, Chen Hock berkata, pertumbuhan dijangka perlahan berikutan persekitaran ekonomi yang mencabar.

Katanya, pengguna dilihat masih berhati-hati dalam perbelanjaan dan dari segi jualan kereta, ia juga merosot.

INFO

* Peraduan Drive Easy Sweepstakes tawar hadiah bernilai sehingga RM600,000

* Termasuk enam kereta Honda Jazz, TV LED Pintar Internet Sony Bravia 48 inci, tablet Apple iPad Air 2 WiFi 64GB dan pelbagai baucar

* 19,325 permohonan pembiayaan peribadi diterima sepanjang kempen "Get More"

* RHB Banking Group mempunyai operasi di 10 negara di rantau ini

* Perniagaan teras kumpulan terbahagi kepada tujuh perniagaan utama

* Mempunyai lebih 200 cawangan di Malaysia

Berita Harian X