Khamis, 26 Mei 2016 | 7:53pm

Saham KL ditutup tidak berubah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tidak berubah hari ini berikutan dalam dagangan berhati-hati walaupun sentimen luaran positif, kata peniaga.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.13 mata kepada 1,631.09, selepas bergerak antara 1,638.17 dan 1,628.19 sepanjang sesi dagangan.

Barometer pasaran dibuka 2.18 mata lebih rendah pada 1,628.78.

Peniaga berkata, pasaran diniagakan berhati-hati berikutan keengganan pelabur tempatan untuk membeli tanpa berita korporat yang positif ketika laporan pendapatan bercampur-campur.

Beliau berkata, pasaran gagal mengambil peluang daripada pengukuhan harga minyak susulan kemelut di Nigeria, yang mengurangkan pengeluaran negara kepada paras terendah dalam tempoh 20 tahun manakala Venezuela, satu lagi pengeluar minyak utama, turut berusaha untuk mengekalkan pengeluaran.

Harga minyak mentah Brent meningkat melebihi AS$50 setong hari ini berikutan pelabur yakin dengan pembetulan selanjutnya dalam ketidakseimbangan penawaran-permintaan bagi komoditi itu.

Pada papan skor, Indeks FBM Emas susut 12.5 mata kepada 11,399.53, Indeks FBMT100 turun 12.67 mata kepada 11,093.97 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 18.56 mata kepada 11,930.2.

FBM 70 turun 63.01 mata kepada 12,845.55 dan FBM Ace jatuh 51.08 mata kepada 5,475.65.

Indeks Kewangan merosot 2.12 mata kepada 14,241.27 manakala Indeks Perladangan naik 21.83 mata kepada 7,487.58 dan Indeks Perusahaan meningkat 0.09 mata kepada 3,084.4.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 476 berbanding 315 dengan 368 kaunter tidak berubah, 587 tidak diniagakan dan 22 lain digantung.

Jumlah dagangan jatuh kepada 1.47 bilion unit bernilai RM1.48 bilion daripada 1.73 bilion unit bernilai RM1.81 bilion pada Rabu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals, masing-masing meningkat tujuh sen kepada RM8.37 dan RM6.56 manakala TNB tidak berubah pada RM14.

Public Bank turun lapan sen kepada RM19.14 dan IHH susut tiga sen kepada RM6.52.

Daripada saham cergas, Eka Noodles turun 1.5 sen kepada 9.5 sen, Vivocom susut setengah sen kepada 28.5 sen dan AirAsia merosot 10 sen kepada RM2.12.

AirAsia X naik setengah sen kepada 39 sen manakala China Automobile Parts tidak berubah pada lima sen.

Jumlah dagangan Pasaran Utama jatuh kepada 1.01 bilion saham bernilai RM1.39 bilion daripada 1.19 bilion saham bernilai RM1.71 bilion semalam. - BERNAMA

Berita Harian X