Rabu, 18 Mei 2016 | 6:47pm
PETUNJUK utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berlegar antara 1,621.46 dan 1,637.67 sepanjang hari ini sebelum naik 2.33 mata untuk ditutup kepada 1,635.72 berbanding 1,633.39, semalam. - Foto hiasan
PETUNJUK utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berlegar antara 1,621.46 dan 1,637.67 sepanjang hari ini sebelum naik 2.33 mata untuk ditutup kepada 1,635.72 berbanding 1,633.39, semalam. - Foto hiasan

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Aktiviti belian sederhana membabitkan saham-saham kewangan dan perdagangan/perkhidmatan kira-kira dua jam sebelum sesi dagangan berakhir, ternyata memacu Bursa Malaysia untuk ditutup tinggi selepas mencatat penurunan pada awal hari ini.

Petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berlegar antara 1,621.46 dan 1,637.67 sepanjang hari ini sebelum naik 2.33 mata untuk ditutup kepada 1,635.72 berbanding 1,633.39, semalam.

Sentimen adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 518 berbanding 302 dengan 380 kaunter tidak berubah, 514 tidak diniagakan manakala 13 lain digantung.

Jumlah dagangan adalah 1.88 bilion saham bernilai RM1.99 bilion berbanding 1.7 bilion saham bernilai RM1.72 bilion semalam.

Seorang peniaga berkata, saham-saham di Bursa Malaysia masih dipacu aktiviti belian biarpun pasaran saham serantau lainnya mencatat penurunan akibat inflasi di Amerika Syarikat (AS) serta komen pihak Rizab Persekutuan negara itu mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah pada bulan depan.

Kalangan peniaga juga optimis bahawa bursa tempatan itu akan terus meningkat sejajar pemulihan harga minyak mentah global.

"Harga minyak naik ke paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan, sekali gus memberi spekulasi positif dalam kalangan peniaga bahawa simpanan minyak mentah AS kian berkurangan," kata seorang peniaga lain.

Laporan semalam menyatakan harga minyak kini berlegar antara AS$50 setong - angka pemulihan yang ketara berbanding pertengahan Februari lepas apabila harganya mencecah paras US$26 setong dan terendah sejak 2003.

Saham-saham berwajaran tinggi seperti Maybank menokok 13 sen kepada RM8.66, TNB naik 14 sen kepada RM14.04, Public Bank tidak berubah pada RN19.16 manakala IHH susut tujuh sen kepada RM6.50.

Bagi saham-saham aktif, Connectcounty tidak berubah pada setengah sen, AirAsia X susut satu sen kepada 40 sen manakala Salutica yang buat pertama kalinya disenaraikan di pasaran Ace naik 2.5 sen kepada 82.5 sen.

Indeks FBM Emas menokok 8.66 mata kepada 11,424.58, Indeks FBMT100 meraih 11.37 mata kepada 11,115.29 namun Indeks FBM Emas Syariah sebaliknya merosot 1.44 mata kepada 11,905.37.

FBM 70 turut turun 2.82 mata kepada 12,833.94 manakala FBM Ace susut 132.07 mata kepada 5,641.40 dan Indeks Kewangan pula meningkat 42.93 mata kepada 14,350.69.

Indeks Perladangan turun 8.17 mata kepada 7,482.60 manakala Indeks Perusahaan jatuh 23.92 mata kepada 3,030.89. - BERNAMA

Berita Harian X