Rabu, 18 Mei 2016 | 3:53pm

WTW bergabung dengan CBRE Group

KUALA LUMPUR: C H Williams Talhar & Wong (WTW) Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan hartanah tertua negara, secara rasminya bergabung dengan CBRE Group, penyedia perkhidmatan hartanah komersial terbesar dunia bagi membentuk entiti baharu dikenali sebagai CBRE|WTW.

Ia sekali gus meluaskan jangkauan perkhidmatan WTW ke peringkat global secara lebih meluas dengan memanfaatkan platform sedia ada CBRE dalam menghubung dan memadankan pelanggannya kepada kriteria pelaburan yang bersesuaian.

Ia berikutan termeterainya perjanjian usaha sama antara WTW dan CBRE yang menyaksikan CBRE mengambil alih 49 peratus kepentingan dalam WTW bagi membentuk entiti baharu dikenali sebagai CBRE|WTW.

Pengarah Urusan WTW, Foo Gee Jen, berkata sungguhpun akan berlaku perubahan dalam struktur pemegang saham dan syarikat itu akan dijenamakan sebagai CBRE|WTW, struktur pengurusan akan dikekalkan.

Beliau berkata, pihaknya belum memutuskan potensi perniagaan baharu yang akan ditawarkan CBRE|WTW, tetapi syarikat itu meninjau beberapa aspek antaranya, penstrukturan semula kewangan dan perkhidmatan bersumberkan pembiayaan.

"Ia peluang bagi syarikat untuk berkembang, memanfaatkan pelaburan ke dalam dan ke luar negara," katanya pada sidang media pada majlis pemeteraian perjanjian itu di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Chua Tee Yong dan Ketua Pegawai Eksekutif CBRE Asia Pasifik, Steve Swerdlow.

Bagaimanapun, Foo tidak mendedahkan pertimbangan pengambilalihan itu.

Sementara itu, Swerdlow berkata, menerusi usaha sama itu, CBRE dilihat berupaya memanfaatkan rangkaian pelanggan WTW dalam pelbagai bidang termasuk penilaian, penyelidikan pasaran, perundingan, ejen hartanah dan pemasaran projek.

Pada masa sama, WTW dapat memanfaatkan platform global CBRE yang meluas.

Beliau berkata, liputan global meluas CBRE akan menyediakan platform yang tersedia kepada pelanggan untuk memadankan dengan sesuai keperluan dan kriteria pelaburan mereka.

CBRE Group Inc adalah syarikat pelaburan dan penyedia perkhidmatan hartanah komersial terbesar dunia dengan pendapatan AS$10.9 bilion (RM43.82 bilion) dicatatkan pada 2015.

Ia disenaraikan dalam Fortune 500 sejak 2008.

Berita Harian X