Isnin, 16 Mei 2016 | 10:35pm

Embassy Garden raih jualan hampir RM701 juta

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendengar taklimat mengenai Projek Embassy Gardens oleh Pengerusi Syarikat Eco World Ballymore Holdings, Tan Sri Liew Kee Sin (kiri) ketika hadir pada Majlis Meletakkan Asas Binaan Terakhir Projek Legacy I di Embassy Gardens, hari ini. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendengar taklimat mengenai Projek Embassy Gardens oleh Pengerusi Syarikat Eco World Ballymore Holdings, Tan Sri Liew Kee Sin (kiri) ketika hadir pada Majlis Meletakkan Asas Binaan Terakhir Projek Legacy I di Embassy Gardens, hari ini. - Foto BERNAMA

LONDON: Eco World Ballymore Holding Co Ltd (EcoWorld-Ballymore) sudah meraih jualan mencecah 120.8 juta pound (RM701 juta) untuk projek pembangunan kediaman Embassy Garden Fasa 2 sejak ia dibuka untuk tempahan pada September tahun lalu.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Liew Kee Sin, berkata secara keseluruhannya projek hartanah itu akan menyediakan sehingga 709 unit kediaman persendirian dan 163 unit rumah mampu milik.

Katanya, ia membabitkan tiga blok kediaman sembilan hingga 23 tingkat dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah 957 juta pound (RM5.54 bilion).

"Kerja pembangunan Embassy Garden Fasa 2 sudah bermula Januari tahun ini dan pembinaan untuk semua blok dijangka siap pada separuh pertama 2019," katanya kepada media selepas majlis Perasmian Pembinaan Bangunan Legacy 1 di sini, hari ini.

Kee Sin berkata, pihaknya amat berbesar hati atas kesudian Perdana Menteri merasmikan projek pembinaan berkenaan kerana ia antara pencapaian penting bagi perkongsian EcoWorld-Ballymore yang baru berusia lebih setahun.

"Sejak pembentukan syarikat usaha sama ini pada Januari 2015, kami sudah melancarkan tiga projek di London iaitu London City Island, Embassy Gardens dan Wardian London," kata Kee Sin.

Ketiga-tiga projek dengan anggaran GDV keseluruhan mencecah 2.257 bilion pound (RM13.11 bilion) dilaporkan mendapat permintaan tinggi pembeli.

Mengulas mengenai projek pembangunan London City Island Fasa 2, Kee Sin berkata projek berkenaan akan menyediakan 1,130 kediaman dan 15 unit kediaman mampu milik dalam enam bangunan setinggi 12 hingga 27 tingkat.

Setakat akhir Januari tahun ini, London City Island sudah meraih jualan 273.9 pound (RM1.6 bilion) sejak ia dilancarkan pada Mei 2015.

Sementara itu, satu lagi projek EcoWorld-Ballymore di London iaitu Wardian yang dibangunkan di kawasan seluas 0.54 hektar di Canary Wharf, London, Kee Sin berkata, projek berkenaan juga mula dibangunkan pada September tahun lalu dan sudah menjana jualan mencecah 186.4 juta (RM1.08 bilion).

Berita Harian X