Isnin, 16 Mei 2016 | 9:56pm

Rakyat Malaysia mampu jadi peneraju, capai taraf global - PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir pada Majlis Meletakkan Asas Binaan Terakhir Projek Legacy I di Embassy Gardens, London, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Syarikat Eco World Ballymore Holdings, Tan Sri Liew Kee Sin (dua dari kiri); Pengarah Urusan Ballymore UK, John Mulryan (kiri) dan Pengerusi Majlis Perusahaan dan Pelaburan Komanwel, Lord Marland (kanan). - Foto NSTP/Eco World
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir pada Majlis Meletakkan Asas Binaan Terakhir Projek Legacy I di Embassy Gardens, London, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Syarikat Eco World Ballymore Holdings, Tan Sri Liew Kee Sin (dua dari kiri); Pengarah Urusan Ballymore UK, John Mulryan (kiri) dan Pengerusi Majlis Perusahaan dan Pelaburan Komanwel, Lord Marland (kanan). - Foto NSTP/Eco World

LONDON: Kerajaan Malaysia amat menyokong usaha sektor swasta negara dalam mempromosikan jenama Malaysia di persada antarabangsa.

Merujuk kepada pelaburan syarikat hartanah terkemuka negara, Eco World International Bhd (EWI) dalam melaksanakan tiga projek pembinaan secara usaha sama di London, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Malaysia dan UK mempunyai hubungan kukuh dan bersejarah.

"Projek (pembangunan) seperti seperti ini semua menyumbang kepada rancangan meningkatkan Malaysia kepada status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Ia juga menunjukkan rakyat Malaysia boleh menjadi peneraju dan mencapai taraf global, di mana sahaja mereka melaksanakan projek pembinaan, bekerja, berdagang, mengajar atau bagaimanapun cara mereka mengambil bahagian dalam masyarakat dan ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Pembinaan Bangunan Legacy 1, Embassy Garden Fasa 2 di sini, hari ini.

Projek berkenaan dibangunkan EcoWorld-Ballymore, iaitu syarikat usaha sama EWI dan Ballymore Group yang berpangkalan di London.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pelaburan dan Enterpris Komanwel yang juga Pengerusi Eco World Management & Advisory Services UK, Lord Jonathan Marland; Pengerusi EcoWorld-Ballymore, Tan Sri Liew Kee Sin dan Pengarah Urusan Ballymore UK, John Mulryan.

Antara keunikan Embassy Garden Fasa 2 adalah "Sky Pool" iaitu kolam renang telus pandang sepanjang 25 meter yang menghubungi dua bangunan pada tingkat 10, iaitu yang pertama seumpamanya di dunia.

"Saya mengucapkan tahniah kepada EcoWorld-Ballymore, kerana memiliki visi yang mengangkat sempadan reka bentuk dan inovasi ke peringkat lebih tinggi.

"Saya pasti ia akan menjadi mercu tanda baharu dan terkenal. Saya amat berhajat untuk melihat ia siap, tetapi saya tidak boleh berjanji untuk berenang dalam kolam berkenaan," kata Perdana Menteri secara berseloroh.

Najib berkata, pencapaian EcoWorld-Ballymore dalam melaksanakan projek pembangunan utama di luar negara bukan hanya menjadi contoh kepada pemaju tempatan, tetapi kepada rakyat Malaysia secara amnya.

INFO

Embassy Garden Fasa 2

  • Terdiri daripada tiga blok kediaman sembilan hingga 23 tingkat
  • Nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah 957 juta pound (RM5.54 bilion)
  • Sedia sehingga 709 unit kediaman persendirian
  • 163 unit rumah mampu milik
  • Terletak di tengah-tengah daearah Nine Elms,South Bank, London
  • Satu daripada tiga projek pembangunan yang sedang dibangunkan Eco World Ballymore
  • Dua lagi projek pembangunan adalah London City Island dan Wardian London
Berita Harian X