Selasa, 10 Mei 2016 | 1:55pm
Tinjauan Bursa Saham (KLSE) di RHB Jln Tun Razak. - Foto Muhammad Hisyamuddin Ishak
Tinjauan Bursa Saham (KLSE) di RHB Jln Tun Razak. - Foto Muhammad Hisyamuddin Ishak

Saham KL tinggi sedikit tengah hari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dengan ditutup tinggi sedikit apabila mendapat rangsangan daripada minat belian dalam saham wajaran tinggi terpilih.

Pada jam 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.85 mata kepada 1,634.04 daripada 1,632.19 pada Isnin.

Indeks utama itu dibuka 3.29 mata lebih rendah kepada 1,628.90 dan bergerak antara 1,635.94 dan 1,614.40 sepanjang sesi pagi.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 359 berbanding 300 dengan 348 kaunter tidak berubah, 695 kaunter tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 849.43 juta saham bernilai RM820.80 juta.

Hong Leong Investment Bank berkata sentimen dijangka mendapat tekanan daripada penurunan semalaman dalam harga minyak mentah, serta penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS.

"Justeru itu, indeks petunjuk pasaran dijangka terus lemah apabila aliran menurun masih kukuh sehingga petunjuk pemulihan yang sangat meyakinkan muncul," kata firma pelaburan itu dalam nota pelaburannya.

Saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM8.80, TNB turun 16 sen kepada RM13.96, Public Bank tidak berubah pada RM19.06, IHH Healthcare susut lima sen kepada RM6.46 manakala Petronas Chemicals meningkat 33 sen kepada RM6.44.

Dalam kalangan kaunter aktif, AirAsia X dan warrant A setiap satu tidak berubah masing-masing pada 37.5 sen dan 25 sen, Hiap Huat naik setengah sen kepada 12 sen tetapi Vivocom susut setengah sen kepada 34 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 1.57 mata kepada 11,437.78 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 12.42 mata kepada 11,920.67 tetapi Indeks FBMT100 berkurangan 0.58 mata kepada 11,127.12 FBM70 susut 47.62 mata kepada 12,930.56 dan FBM Ace turun 27.20 mata kepada 5,666.51.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan bagaimanapun meningkat 8.89 mata kepada 14,519.89, Indeks Perusahaan melonjak 21.93 mata kepada 3,051.08 tetapi Indeks Perladangan turun 18.41 mata kepada 7,473.03. - BERNAMA

Berita Harian X