Jumaat, 22 April 2016 | 7:27pm

Bursa Malaysia ditutup rendah seiring bursa serantau

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia, yang kekal dalam lingkungan negatif sepanjang hari, ditutup rendah seiring dengan prestasi kurang memberangsangkan bursa serantau.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berakhir 3.51 mata lebih rendah pada 1,717.96 berbanding 1,721.47 semasa ditutup semalam.

Selepas dibuka 1.81 mata lebih rendah pada 1,719.66, indeks penanda aras turun naik antara 1,715.18 dan 1,720.08 sepanjang hari.

Pasaran dalam lingkungan negatif dengan saham rugi mengatasi untung pada 396 berbanding 378 dengan 387 kaunter tidak berubah, 562 kaunter tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 1.63 bilion saham bernilai RM1.65 bilion berbanding 1.99 bilion saham bernilai RM1.95 bilion yang dicatatkan semalam.

Seorang peniaga berkata sentimen belian di bursa serantau termasuk Bursa Malaysia, lembap setelah pedagang mengambil petunjuk daripada penurunan semalaman di Wall Street.

Kebanyakan saham wajaran tinggi lebih rendah dengan Petronas Chemicals dan Axiata susut tiga sen setiap satu, masing-masing kepada RM6.70 dan RM5.85, dan Sime Darby turun empat sen kepada RM7.93.

Saham wajaran tinggi lain, Maybank, Public Bank dan IHH menambah empat sen setiap satu, masing-masing kepada RM9.05, RM19.14 dan RM6.72.

Antara saham aktif, AirAsia X susut 1.5 sen kepada 36.5 sen, Sumatec turun satu sen kepada 12 sen dan Vivocom kekal pada 31.5 sen.

Indeks FBM Emas turun 31.5 mata kepada 11,938.49, Indeks FBMT100 menyusut 33.78 mata kepada 11,627.98 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 35.38 mata kepada 12,487.75. - BERNAMA

Berita Harian X