Khamis, 21 April 2016 | 7:45pm
BURSA Malaysia ditutup tinggi hari ini selepas berada dalam lingkungan positif sepanjang tempoh dagangan. - Foto hiasan
BURSA Malaysia ditutup tinggi hari ini selepas berada dalam lingkungan positif sepanjang tempoh dagangan. - Foto hiasan

Saham KL tinggi susulan pemulihan harga minyak

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini selepas berada dalam lingkungan positif sepanjang tempoh dagangan, menjejaki prestasi bursa serantau berikutan kenaikan harga minyak mentah.

Petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 12.56 mata untuk ditutup kepada 1,721.47 berbanding 1,708.91, semalam.

Selepas menokok 0.97 mata kepada 1,709.88 sewaktu dibuka, penanda aras itu turut mencecah paras terendah pada 1,709.11 hari ini, tetapi sempat meraih momentum untuk ditutup pada paras lebih tinggi.

Sentimen pasaran terbukti amat positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 507 berbanding 351 manakala 364 kaunter tidak berubah, 501 kaunter tidak diniagakan dan lapan lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 1.99 bilion saham bernilai RM1.95 bilion daripada 1.74 bilion saham bernilai RM2.05 bilion yang dicatatkan semalam.

Seorang peniaga berkata, prestasi pasaran serantau yang memberangsangkan itu turut merancakkan sentimen belian dalam pasaran tempatan, terutamanya selepas kenaikan harga minyak global.

"Indeks MSCI bagi saham-saham Asia Pasifik (luar Jepun) meningkat sebanyak 0.8 peratus manakala Nikkei 225 ditutup lebih tinggi iaitu sebanyak 2.7 peratus.

"Harga minyak yang lebih tinggi itu menjadi pemacu bagi melonjakkan pasaran. Para pelabur ternyata positif selepas minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, diniagakan 20 sen lebih tinggi kepada US$46 setong," katanya.

Kebanyakan saham-saham berwajaran tinggi meningkat, kecuali Maybank yang susut dua sen kepada RM9.01 manakala TNB naik 10 sen kepada RM14.50, Public Bank menokok lapan sen kepada RM19.10 dan IHH meraih satu sen kepada RM6.68.

Bagi saham-saham aktif, AirAsia X dan Eka Noodles masing-masing susut setengah sen kepada 38 sen dan 12 sen manakala Bumi Armada meningkat dua sen kepada 79.5 sen.

Indeks FBM Emas menokok 84.58 mata kepada 11,969.99, Indeks FBMT100 naik 84.02 mata kepada 11,661.77 manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 77.26 mata kepada 12,523.13.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama naik kepada 1.47 bilion unit bernilai RM1.87 bilion daripada 1.3 bilion unit bernilai RM1.98 bilion yang dicatatkan, semalam.

- BERNAMA

Berita Harian X