Khamis, 7 April 2016 | 4:49pm

Jepun kekal pelabur terbesar sektor pembuatan Malaysia

JEPUN kekal negara asing terbesar melabur dalam sektor pembuatan di Malaysia. - Foto hiasan
JEPUN kekal negara asing terbesar melabur dalam sektor pembuatan di Malaysia. - Foto hiasan

TOKYO: Jepun kekal negara asing terbesar melabur dalam sektor pembuatan di Malaysia, selain rakan dagang keempat terbesar, sehingga tahun lalu.

Mengikut Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris, Malaysia pula adalah rakan dagang kelapan terbesar Jepun dengan nilai perdagangan berjumlah AS$33.59 bilion (RM130.68 bilion).

Beliau berkata, dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu, sebanyak 52 projek membabitkan pelaburan berjumlah AS$607.9 juta (RM2.365 bilion) diluluskan kepada syarikat Jepun.

Setakat ini, sebanyak 1,345 syarikat dari negara matahari terbit itu terbabit dalam sektor pembuatan dan bukan pembuatan di Malaysia, kata Ahmad Izlan.

Antara pelaburan utama Jepun ialah dalam pembuatan produk mineral bukan metalik, elektronik dan elektrikal, kimia, peralatan pengangkutan dan mesin.

Beliau ditemui BERNAMA selepas menyambut keberangkatan tiba Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), yang mengetuai delegasi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) ke Tokyo, baru-baru ini.

Baginda serta Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku pengerusi YTF, diundang Josai International University (JIU) bersempena penerimaan masuk lima pelajar tajaan YTF untuk mengikuti program Kepimpinan Wanita selama setahun di universiti berprestij itu.

Program itu membabitkan kerjasama YTF-JIU dan UniMAP.

Ahmad Izlan berkata, Nippon Electric Glass, Fuji Electric, SDP Global, Tosoh Corporation dan Kaneka Corporation, adalah antara lima pelabur terbesar Jepun di Malaysia pada masa ini.

"Syarikat-syarikat Malaysia pula mempunyai peluang luas untuk melabur dalam bidang industri halal, pensijilan halal, kewangan Islam serta produk pertanian di Jepun," katanya.

Berhubung pelancongan, beliau berkata seramai 439,775 rakyat Jepun mengunjungi Malaysia tahun lalu, manakala rakyat Malaysia yang melawat Jepun dari Januari hingga November 2015 seramai 255,214.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Jepun terjalin sejak kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Jepun menubuhkan Kedutaan Besarnya di Kuala Lumpur pada September 1957 manakala Malaysia membuka pejabat Kedutaan Besarnya di Tokyo pada Januari 1958. - BERNAMA

Berita Harian X