Rabu, 6 April 2016 | 7:00am

Keluar tunai kad debit Bank Islam di kaunter PETRONAS

PENGARAH Urusan Bank Islam Malaysia Berhad, Datuk Seri Zukri Samat (tengah) menggunakan perkhidmatan mengeluarkan wang tunai secara terus di kaunter Kedai Mesra Petronas melalui kad i-Debit Bank Islam Visa pada majlis pelancaran kemudahan itu di stesen Petronas Pasir Pekan hari ini.Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagang Berhad, Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus (kanan). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: PETRONAS bekerjasama dengan Bank Islam Malaysia Bhd memperkenalkan perkhidmatan pengeluaran wang tunai di kaunter stesen minyak itu bagi pemegang Kad Debit-i Visa Bank Islam.

Fasa pertama inisiatif itu meliputi tiga negeri di Semenanjung yang boleh didapati di 150 stesen PETRONAS dengan 41 di Kelantan, Terengganu (39) dan Pahang (70).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dagangan Berhad (PDB), Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus, berkata pihaknya mempunyai rancangan jangka panjang untuk memperluaskan perkhidmatan kaunter tunai di semua stesen PETRONAS di seluruh negara.

"Ia memberi kemudahan lebih luas dan menambah nilai kepada perkhidmatan yang ditawarkan oleh rangkaian stesen minyak," katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat, berkata melalui kerjasama dengan PETRONAS itu, bank itu menjadi institusi kewangan perintis dalam menyediakan kemudahan yang pertama di Malaysia.

"Dengan kemudahan tunai di kaunter ini, ia diharap dapat meningkatkan penggunaan Kad Debit-i Visa Bank Islam serta jumlah dagangan di stesen PETRONAS," katanya.

Pemegang kad Debit-i Visa Bank Islam perlu membuat pembelian runcit sekurang-kurangnya bernilai RM5 sama ada bahan api atau barang daripada Kedai Mesra untuk melakukan pengeluaran tunai di kaunter terbabit.

Urus niaga tunai adalah terhad kepada RM500 bagi setiap transaksi untuk setiap pemegang kad dan urus niaga harian maksimum dihadkan kepada RM2,000 pada setiap hari dengan semua transaksi dilakukan melalui terminal Bank Islam di kaunter.

PETRONAS mempunyai rangkaian runcit yang terbesar di negara ini dengan lebih 750 Kedai Mesra dan 1,000 stesen di seluruh negara.

Berita Harian X