Khamis, 24 March 2016 | 6:46pm

Ahmad Fuaad dilantik CEO baharu PROTON

Datuk Ahmad Fuaad Mohd Kenali
Datuk Ahmad Fuaad Mohd Kenali

SHAH ALAM: DRB-Hicom Bhd melantik Datuk Ahmad Fuaad Mohd Kenali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PROTON Holdings Bhd yang baharu menggantikan Datuk Abdul Harith Abdullah yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan DRB-Hicom.

Kedua-dua pelantikan itu berkuat kuasa 1 April ini.

DRB-Hicom dalam satu kenyataan hari ini berkata Ahmad Fuaad yang juga Ketua Pegawai Operasi-Kewangan dan Korporat DRB HICOM, sudah berada dalam lembaga PROTON sebagai Pengarah Bukan Eksekutif sejak 2013.

DRB-Hicom, yang memiliki kepentingan besar dalam PROTON, berkata ia juga melantik Datuk Md Radzaif Mohamed, Ketua Pegawai Operasi Pengedaran Automotif dan Pembuatan kumpulan itu sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON/ Pengarah Eksekutif berkuat kuasa 1 April depan.

Kumpulan itu juga memindahkan Shamsuddin Mohd Yusof, Ketua Pegawai Operasi Hicom Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn Bhd (HAMM) kepada sebagai Ketua Pegawai Operasi Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd berkuat kuasa 14 Mac.

Pengurus Besar, Operasi di HAMM, Ismail Pandak, dilantik sebagai Pemangku Ketua Pegawai Operasi HAMM berkuat kuasa 14 Mac, katanya.

"Pergerakan sumber bakat dalaman ini adalah konsisten dengan dasar kumpulan untuk sentiasa membangunkan keupayaan bagi membolehkan kumpulan syarikat DRB-Hicom mengekalkan perspektif yang segar untuk mengemudi kumpulan di bawah persekitaran perniagaan semasa yang mencabar dan kompetitif," kata Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar. - BERNAMA

Berita Harian X