Isnin, 14 March 2016 | 5:47pm

Maybank kukuhkan komitmen dengan menara baharu di Kemboja

PENGERUSI Kumpulan Maybank dan Pengerusi Yayasan Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor. - Foto Mohamd Shahril Badri Saali
PENGERUSI Kumpulan Maybank dan Pengerusi Yayasan Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor. - Foto Mohamd Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) terus mengukuhkan operasinya di Kemboja melalui pembukaan pejabat korporat setinggi 10 tingkat iaitu Menara Maybank.

Menara itu yang terletak di Norodom Boulevard, jalan komersial utama di Phnom Penh, akan menjadi cawangan utama serta menempatkan keseluruhan operasi Maybank (Kemboja) Plc.

Pengerusi, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, berkata pembukaan menara itu adalah sebahagian daripada strategi Maybank dalam mengembangkan operasi serantaunya untuk menjadi sebuah kumpulan perbankan yang terkemuka di Asia.

"Maybank percaya bahawa usaha kami dalam mengembangkan industri kewangan dan ekonomi negara ini adalah selaras dengan inisiatif Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) untuk menggalakkan daya saing dan pembangunan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.

Maybank memulakan operasi di Kemboja dengan pembukaan cawangan Phnom Penh pada tahun 1993 yang kini telah berkembang kepada 21 cawangan bagi menangani keperluan pasaran domestik serta pelanggan serantau yang mempunyai perniagaan dan pelaburan di negara tersebut.

Ia telah diperbadankan di Kemboja pada 2012 sebagai sebahagian daripada komitmen untuk mengukuhkan kehadirannya di Kemboja.

Bagi meraikan pelancaran bangunan pejabat baharunya, Maybank memperkenalkan Kad Visa Debit Bergambar, satu ciri istimewa yang kali pertama diperkenalkan, ini membolehkan pelanggan untuk menyesuaikan kad debit dengan gambar-gambar pilihan mereka.

Kad baharu itu adalah sebahagian daripada usaha Maybank untuk membawa produk serta perkhidmatan baharu yang inovatif di Kemboja bagi menggalakkan lagi transaksi tanpa tunai di Kemboja disamping meningkatkan penguasaan bank itu dalam perniagaan kad debit.

Ia disasarkan kepada pasaran golongan muda berkemampuan yang merupakan segmen demografi yang semakin meningkat di Kemboja berikutan kepesatan pembangunan dan pertumbuhan kekayaan negara itu yang pesat. - BERNAMA

Berita Harian X