Sabtu, 27 Februari 2016 | 6:22am

MARA buat tawaran jualan dua hartanah di London pada harga rujukan RM176.04 juta

Atelier EC1
Atelier EC1

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) membuat tawaran untuk menjual dua daripada tiga hartanah miliknya, menerusi MARA Inc, di London iaitu Atelier EC1 dan Ahsley Hotel pada harga rujukan STG30 juta (RM176.04 juta).

Untuk tujuan itu, agensi pembangunan usahawan Malaysia itu sudah melantik ejen hartanah terkemuka London, Colliers International, sebagai pelaksana urusan penjualan berkenaan.

Tawaran jualan dua hartanah berkenaan juga sudah dimuat naik dalam laman web Collier Property UK, yang menjemput pembeli yang berminat untuk meletakkan harga masing-masing.

Majalah hartanah, Property Week UK, baru-baru ini melaporkan MARA menetapkan harga rujukan jualan STG17 juta (RM99.75 juta) bagi aparment mewah Atelier EC1, yang terletak di 30 Greville Street, London.

Sementara itu, bagi Ashley Hotel di 13-17, Norfolk Square, Paddington, London, agensi kerajaan itu meletakkan harga rujukan STG12.5 juta (RM73.35 juta). Kedua-dua hartanah berkenaan dibeli oleh MARA pada 2010 dan 2011.

Pegawai MARA yang dihubungi enggan mengulas mengenai perkara itu kerana ia masih dalam peringkat rundingan urus niaga.

Bagaimanapun, beliau berkata, langkah itu selaras saranan kerajaan supaya syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), termasuk syarikat swasta serta agensi kerajaan, digalak menzahirkan keuntungan daripada pelaburan di luar negara untuk dilaburkan dalam projek yang mempunyai nilai pengganda di negara ini.

Ahsley Hotel
Ahsley Hotel

Galakan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada September lalu sebagai antara langkah proaktif bagi melindungi ekonomi sebenar negara daripada kesan risiko penyederhanaan ekonomi dunia ketika ini.

Difahamkan MARA bakal meraih keuntungan keseluruhan termasuk keuntungan tukaran asing melebihi RM30 juta bagi kedua-dua hartanah berkenaan.

Pada Julai tahun lalu, Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, agensi itu memutuskan untuk tidak lagi membuat pelaburan dalam hartanah di luar negara dan akan menjual aset yang dibelinya sebelum ini jika mendapat tawaran yang menguntungkan.

Tujuan penjualan aset berkenaan, jelas beliau, adalah bagi melunaskan pinjaman ketika membeli empat hartanah sebelum ini, yang membabitkan pinjaman dari WestPac Bank dan National Bank of Abu Dhabi.

MARA ketika ini memilik tiga hartanah premium di London iaitu Atelier EC1, Ashley Hotel dan Beaumont House di Bayswater, London.

Ashley Hotel yang dibeli pada Oktober 2010 adalah hartanah pegangan bebas merangkumi bangunan enam tingkat yang dibina sekitar tahun 1840-an. Ia adalah antara hartanah di Norfolk Square Gardens yang telah ditukar dari kediaman menjadi hotel pelancongan kecil.

Atelier EC1 pula, dibeli pada Disember 2011, adalah apartment mewah hartanah pegangan bebas yang memiliki bangunan tujuh tingkat dengan ruang komersial di atas tanah dan bawah tanah lantai. Ia dibina di pusat bandar London dalam kawasan yang dikenali sebagai " Jewellery Quarter" pada 2007.

MARA turut memiliki empat hartanah mewah di Australia iaitu 7-13 Dudley Street, Caulfield East, Melbourne; 333 Exhibition Street, Melbourne; 51 Queen Street, Melbourne dan 746 Swanston Street, Carlton, Melbourne.

Berita Harian X