Selasa, 9 Februari 2016 | 6:54pm

RSPO lancar kriteria tambahan

Ketua Pegawai Eksekutif RSPO, Datuk Darrel Webber
Ketua Pegawai Eksekutif RSPO, Datuk Darrel Webber

KUALA LUMPUR: Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) melancarkan 'RSPO NEXT' sebagai tambahan sukarela kepada Prinsip & Kriteria (P&C) bagi penanaman minyak sawit secara lestari.

Menurut RSPO, dasar RSPO NEXT yang perlu dipatuhi peladang berkelayakan, antaranya adalah dasar tiada penebangan hutan lebih meluas, tiada penanaman di kawasan tanah gambut dan pengurangan pelepasan gas rumah hijau.

Sebagai tambahan kepada larangan sedia ada mengenai penggunaan api untuk membersihkan kawasan seperti yang diperuntukkan di bawah P&C, penanam kelapa sawit mesti mempunyai rancangan serta prosedur untuk mencegah, memantau dan memadam kebakaran di ladang mereka dan kawasan sekitarnya.

Penanam kelapa sawit juga dituntut menghormati hak pekebun kecil dan pekerja, selain berbincang dengan pekerja mereka bagi membentuk terma yang dipersetujui kedua-dua pihak.

RSPO dalam kenyataan, di sini, hari ini, menyebut ia juga menuntut penanam membangunkan program bagi menyokong pekebun kecil dengan kemahiran lestari dan perniagaan.

Anggota RSPO yang terbabit dalam penggubalan rangka kerja RSPO NEXT, termasuk peladang kelapa sawit United Plantations, peniaga minyak sawit IOI Loders Croklaan dan Tabung Hidupan Liar Sedunia.

Ketua Pegawai Eksekutif RSPO, Datuk Darrel Webber, berkata penggubalan RSPO NEXT ialah sebagai menyahut saranan anggota untuk penambahbaikan rangka kerja RSPO.

"RSPO NEXT adalah satu pencapaian yang penting dan boleh menjadi penanda aras industri baharu bagi mereka yang bekerja keras ke arah matlamat bersama kami iaitu minyak sawit disahkan 100 peratus lestari," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X