Rabu, 3 Februari 2016 | 1:32pm

Saham KL rendah pada akhir dagangan pagi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah secara menyeluruh pada akhir dagangan pagi hari ini, dengan sentimen terjejas berikutan pasaran ekuiti yang lemah disebabkan prestasi harga minyak yang rendah, kata peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan 1,639.21, susut 13.97 mata berbanding 1,653.18 pada penutup semalam.

Indeks penanda aras dibuka 16.52 mata lebih rendah pada 1,636.66.

Peniaga berkata, pasaran saham tempatan mengambil petunjuk daripada pasaran ekuiti Asia yang lemah dengan pelabur beralih kepada aset lebih selamat selepas tekanan ke atas harga minyak yang semakin meningkat akibat lebihan bekalan.

Beliau berkata, pasaran ekuiti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah turut jatuh berpunca daripada kebimbangan pelabur ke atas harga minyak.

Di papan skor, Indeks FBM Emas susut 89.29 mata kepada 11,409.78, Indeks FBMT100 turun 90.71 mata kepada 11,116.34 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 101.811 mata kepada 12,222.93.

FBM 70 susut 89.62 mata kepada 12,754.7 manakala FBM Ace turun 20 mata kepada 5,866.3.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 14.19 mata kepada 7,733.67, Indeks Kewangan susut 125.58 mata kepada 13,740.14 manakala Indeks Perusahaan merosot 34.69 mata kepada 3,215.04.

Kedudukan pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 469 berbanding 193, manakala 274 kaunter tidak berubah, 790 tidak diniagakan manakala 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 745.05 juta saham bernilai RM733.14 juta.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank susut 10 sen kepada RM8.44, TNB turun 16 sen kepada RM13.18 dan Petronas Chemicals susut 12 sen kepada RM6.94.

Public Bank menokok empat sen kepada RM18.38 dan IHH menambah tiga sen kepada RM6.59.

Antara saham aktif, Tiger Synergy dan AirAsia X masing-masing rugi setengah sen kepada lapan sen dan 24 sen, dan XOX susut satu sen kepada 20 sen.

Sanichi dan Metronic masing-masing kekal pada 6.5 sen dan tujuh sen. - BERNAMA

Berita Harian X