Isnin, 1 Februari 2016 | 12:35pm

Koperasi perlu rebut peluang dalam TPPA

PRESIDEN Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah. - Foto Malai Rosmah Tuah
PRESIDEN Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah. - Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA BHARU: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan menjadi laluan mudah kepada gerakan koperasi untuk meluaskan pasaran perniagaan di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah, mahu lebih 12,000 koperasi bawah naungannya membuat persiapan dari sekarang bagi menghadapi pasaran terbuka dalam TPPA.

Katanya, ANGKASA mahu melihat gerakan koperasi yang menjadi enjin pertumbuhan ketiga ekonomi negara, melangkah lebih luas ke peringkat antarabangsa, sekali gus bersaing dalam dunia perdagangan dengan koperasi di negara maju.

"Saya percaya semua koperasi khususnya yang berpendapatan RM5 juta ke atas mampu bersaing dalam dunia perdagangan dengan syarikat dan koperasi negara peserta TPPA.

"ANGKASA menyokong TPPA yang menjadi laluan yang baik untuk gerakan koperasi di negara ini menyertai perniagaan dalam pasaran terbuka dan bersaing dalam ekonomi antarabangsa," katanya kepada BH.

Abdul Fattah berkata, penyertaan gerakan koperasi negara dalam aktiviti perdagangan menerusi TPPA sudah pasti dapat merancakkan lagi kemajuan dan pembangunan gerakan koperasi khususnya dalam meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, langkah itu juga selaras dengan sasaran ANGKASA mahu memastikan sumbangan koperasi kepada KDNK, mencapai RM50 bilion menjelang tahun 2020.

"Bagi tahun 2014, sumbangan koperasi kepada KDNK ialah RM35 bilion dan pada tahun lalu, kita menjangka melepasi angka RM35 bilion.

"Dengan penyertaan negara dalam TPPA, perniagaan koperasi dijangka menjadi lebih positif dari segi perolehan pendapatan apabila boleh berdagang secara meluas di peringkat antarabangsa," katanya.

Berita Harian X