Khamis, 28 Januari 2016 | 7:22pm

Pengurangan SRR bagi kesan positif kepada bank

KUALA LUMPUR: Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan nisbah rizab adalah kredit positif bagi bank memandangkan ia memberi kesan sederhana ke atas kos pembiayaan, kata Moody's Investor Service.

Pada 21 Januari lalu, BNM mengurangkan rizab keperluan berkanun (SRR), iaitu jumlah wang tunai yang perlu disediakan bank Malaysia sebagai rizab tanpa faedah dengan BNM, kepada 3.5 peratus berbanding 4.0 peratus, berkuat kuasa 1 Februari 2016.

Dalam Unjuran kreditnya, Moody's menyatakan tindakan itu akan menyederhanakan kos pembiayaan, yang meningkat disebabkan oleh persaingan deposit berikutan pelaksanaan nisbah liputan mudah tunai serta mudah tunai bank yang diperketatkan ekoran aliran keluar modal.

"Sistem Deposit berkanun sebanyak RM48.5 bilion (AS$11.4 bilion) pada November 2015, dan kami menganggarkan SRR yang lebih rendah akan memulangkan RM6.1 bilion ke dalam sistem perbankan," kata firma penarafan itu, hari ini.

Selain menurunkan keperluan rizab, katanya, BNM mengekalkan kadar dasar semalaman, kadar bank memberi pinjaman kepada satu sama lain, pada 3.25 peratus.

Ia menunjukkan kadar dasar semalaman yang lebih rendah akan menjurus kepada lebih banyak hutang, dengan hutang isi rumah sudah pun tinggi, menyebabkan margin faedah bersih (NIM) bank yang lebih rendah.

"Berdasarkan tindakan BNM itu, kami menjangkakan persaingan deposit akan berkurangan, yang seterusnya akan menstabilkan NIM dan keuntungan".

Antara bank yang diberi penarafan, Moody's berkata Public Bank Bhd dan CIMB Bank Bhd akan mendapat manfaat paling besar kerana kos pembiayaan mereka (nisbah perbelanjaan faedah kepada jumlah pembiayaan purata) paling meningkat pada 2015.

Ia berkata, langkah bank pusat itu juga akan menstabilkan NIM bank Malaysia yang ketat sepanjang tahun disebabkan kos pembiayaan yang tinggi.

Purata NIM antara enam bank terbesar Malaysia susut kepada 2.23 peratus pada September 2015 daripada 2.41 peratus pada tahun sebelumnya.

Moody's berkata, langkah BNM itu bertujuan menangani mudah tunai yang ketat dalam sistem berikut pertumbuhan perlahan deposit dan aliran keluar modal.

Ia berkata cabaran politik dan minat pelabur ke pasaran pesat membangun, menyebabkan RM24.5 bilion portfolio dan modal pelaburan mengalir keluar dari Malaysia pada suku ketiga 2015. - BERNAMA

Berita Harian X