Khamis, 21 Januari 2016 | 3:40pm

NCIA: Najib saksi pertukaran 4 dokumen pelaburan RM1.3b

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman di antara Koridor Utara yang diwakili Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq (kanan) dengan Great Realty Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusan Great Realty Sdn Bhd, Datuk Sonny Ho Kiong Chan (kiri) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Turut sama Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Negeri Kedah, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (dua dari kanan). - Foto Fariz Iswadi Ismail
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman di antara Koridor Utara yang diwakili Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq (kanan) dengan Great Realty Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusan Great Realty Sdn Bhd, Datuk Sonny Ho Kiong Chan (kiri) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Turut sama Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Negeri Kedah, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (dua dari kanan). - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Empat syarikat dengan jumlah pelaburan RM1.3 bilion akan menubuhkan kemudahan inovasi dan inisiatif baharu dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara).

Empat syarikat berkenaan ialah Great Realty Sdn Bhd, Duria Manufacturing Sdn Bhd, Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Perlis dan Tandop Hotel Sdn Bhd.

Pertukaran dokumen antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), badan yang bertanggungjawab menetapkan hala tuju, dasar dan strategi Koridor Utara, dan keempat-empat syarikat itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini, hari ini.

Majlis itu diadakan setelah selesainya Mesyuarat Majlis NCIA Ke-15, yang dipengerusikan oleh Najib, yang juga Menteri Kewangan.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.

"Di bawah perjanjian itu, syarikat-syarikat akan menubuhkan kemudahan inovasi dan inisiatif baharu dalam kawasan ini, yang akan menghasilkan kesan limpahan ketara seperti peluang perniagaan, penambahbaikan logistik serta meningkatkan gaya hidup rakyat," kata NCIA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat majlis.

Pada majlis pertukaran dokumen berkenaan, NCIA diwakili Ketua Eksekutifnya Datuk Redza Rafiq.

Great Realty, anak syarikat Belleview Sdn Bhd yang membina Aman Central di Alor Star, yang dikatakan sebagai pusat beli-belah terbesar di wilayah utara, diwakili oleh Pengarah Urusannya Datuk Sonny Ho Kiong Chan.

Duria Manufacturing, yang mengkhusus dalam pemprosesan hiliran dan pemasaran produk berasaskan durian diwakili oleh Pengarah Urusannya Wong Woei Meng manakala Tandop Hotel, antara rangkaian penginapan ekonomi pantas berkembang di wilayah utara, oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Low Wey Heng.

Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Perlis, yang terlibat dalam pertanian moden menggunakan rumah hijau dengan sistem fertigasi automasi untuk meningkatkan hasil pengeluaran tanaman dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Perlis iaitu PPK Paya, PPK Beseri, PPK Mata Ayer dan PPK Bintong, diwakili oleh Pengarahnya Shaidan Nordin. - BERNAMA

Berita Harian X