Khamis, 14 Januari 2016 | 4:48pm

Mercedes-Benz perkenal 5 varian SUV mewah

Mercedes-Benz SUV GLC 250 4MATIC. - Foto Salhani Ibrahim
Mercedes-Benz SUV GLC 250 4MATIC. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan barisan terbaharu kenderaan utiliti sports (SUV) mewahnya sebagai kesinambungan strategi pemasarannya tahun ini.

Ia terdiri daripada Mercedes-Benz GLC 250 4MATIC; Mercedes-Benz GLE 250 d 4MATIC; Mercedes-Benz GLE 400 4MATIC; Mercedes-Benz GLE 400 4MATIC Coupe; dan Mercedes-Benz GLE 450 AMG 4MATIC Coupe.

Naib Presiden Jualan dan Pemasarannya, Mark Raine, berkata SUV premium saiz sederhana Mercedes-Benz GLC 250 4MATIC adalah tarikan utama segmen itu yang dibangunkan berdasarkan bentuk badan AMG dan didatangkan dengan saiz tayar 20 inci dan suspensi penalaan sports membolehkan gaya pemanduan lebih sporty dengan tidak berkompromi ke atas keselesaan.

Beliau berkata, Mercedes-Benz GLE pula adalah SUV mewah bersaiz penuh yang boleh disifatkan secara terbaik dengan ketepatan, kuasa dan prestij.

"Ia menggabungkan kemewahan, funsionalisme, gaya dan prestasi dalam satu pakej reka bentuk, mewakili pelanggan utama ekslusif.

"Mercedes-Benz GLE menyediakan ruang penyimpanan terbesar dalam segmennya yang boleh membuatkan tiga set beg golf tanpa masalah," katanya pada majlis pelancaran lima varian terbaharu SUV itu di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia yang baharu, Dr Claus Weidner.

Raine berkata, Mercedes-Benz GLE diperkenalkan di Malaysia dalam dua varian iaitu Mercedes-Benz GLE 250 d 4MATIC yang menggunakan diesel dan Mercedes-Benz GLE 400 4MATIC.

Varian Mercedes-Benz GLE 400 4MATIC menggunakan enjin turbo berkembar V6 suntikan langsung dengan transmisi 7G-TRONIC bagi menghasilkan keupayaan tork 480 NM pada 1,600-4,000 rpm dengan kemampuan memecut 6.1 saat dari 0-100 kilometer sejam.

Menyentuh model coupe, beliau berkata sungguhpun disifatkan sebagai 'binatang liar', penampilan Mercedes-Benz GLE Coupe menggabungkan ciri-ciri tangkas SUV manakala sifat sporty terhasil daripada reka bentuk coupe, yang pada masa sama menjadikannya hebat, menarik dan penuh keghairahan.

Mercedes-Benz GLE Coupe, katanya, dibangunkan menggunakan enjin V6 petrol biturbo dengan transmisi 9G-TRONIC 2,996 cc.

Bagi varian Mercedes-Benz GLE 400 4MATIC Coupe ia berkemampuan memecut dari 0-100 kilometer sejam dalam 5.9 saat, manakala bagi varian Mercedes-Benz GLE 450 AMG 4MATIC Coupe lebih pantas lagi hanya dalam 5.7 saat, katanya.

"Pelancaran lima varian itu bakal mengukuhkan lagi penguasaan kami dalam segmen kenderaan mewah di negara ini dan mengekalkan prestasi kenderaan jenama Eropah nomboir satu di Malaysia," katanya.

Mercedes-Benz GLC 250 4MATIC dijual pada harga atas jalan tidak termasuk insurans RM328,888 seunit; Mercedes-Benz GLE 250 d 4MATIC (RM486,888); Mercedes-Benz GLE 400 4MATIC (RM568,888); Mercedes-Benz GLE 400 4MATIC Coupe (RM630,888); dan Mercedes-Benz GLE 450 AMG 4MATIC Coupe (RM699,888).

Pada majlis sama Mercedes-Benz Malaysia, menerusi anak syarikat Mercedes-Benz Services Malaysia Sdn Bhd, melancarkan skim pembiayaan 'Agility Financing' bagi kelima-lima varian SUV yang diperkenalkan itu.

Pelanggan Agility Financing akan menikmati manfaat bebas risiko seperti Nilai Masa Dwpam Terjamin (GFV), bayaran ansuran bulanan rendah dan opsyen pembayaran akhir yang anjal.

Untuk maklumat lanjut, layari laman www.mercedes-benz.com.my/suv.

Berita Harian X