Isnin, 4 Januari 2016 | 11:13pm

Faedah TPPA melebihi cabaran - Mustapa

DATUK Seri Mustapa Mohamed. - Foto Hafiz Sohaimi
DATUK Seri Mustapa Mohamed. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menegaskan bahawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan memberikan lebih banyak faedah kepada orang ramai berbanding cabaran.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kerajaan telah menganalisis impak perjanjian berkenaan dan akan terus memberi penjelasan kepada semua lapisan masyarakat agar mereka memahami perjanjian itu sepenuhnya.

"Kementerian sudah mengadakan pelbagai dialog khas di beberapa sesi di mana saya sendiri telah turun padang," kata beliau di dalam dialog khas di RTM bertajuk 'Pencerahan TPPA'.

Mustapa menegaskan bahawa kerajaan tidak akan sama sekali mengambil keputusan tergesa-gesa.

"Dalam mengambil apa-apa keputusan, kerajaan akan mengambil kira kebaikan dan keburukan sesuatu dasar itu," katanya.

Antara lain, kerajaan telah membuat dua analisis kos dan faedah melalui PwC Malaysia dan Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa Malaysia.

"Walaupun kerajaan mengiktiraf terdapat kos yang akan ditanggung, manfaatnya melebihi kos.

"Tidak dinafikan terdapat beberapa cabaran perlu ditangani jika kita menyertai TPPA, tetapi kerajaan berpendapat secara keseluruhannya Malaysia mendapat manfaat daripada penyertaan ini," katanya.

Jika Malaysia memutuskan untuk menjadi anggota TPPA, kemasukannya hanya dijangka pada awal 2018.

Negara TPPA, iaitu Australia, Amerika Syarikat, New Zealand, Kanada, Mexico, Peru, Chile, Brunei, Singapura, Jepun, Vietnam dan Malaysia menyumbang hampir 40 peratus keluaran dalam negara kasar dunia serta satu pertiga perdagangan global.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustapa berkata, hak kontraktor Bumiputera akan terus dipertahankan sekiranya Malaysia bersetuju memeterai TPPA.

Katanya, kerajaan tetap akan mengekalkan serta mempertahankan dasar kepentingan 30 peratus kontrak Bumiputera dalam pemerolehan kontrak kerajaan.

Dalam teks TPPA mengenai aspek pemerolehan kerajaan, jelas menyatakan bahawa 30 peratus diperuntukkan untuk kontraktor Bumiputera yang tendernya turut dibuka kepada negara anggota TPP.

"(Sehubungan itu) kontraktor bumiputera boleh meneruskan projek mereka, termasuklah dalam pembinaan sekolah, klinik dan hospital," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X