Khamis, 17 Disember 2015 | 7:39pm

Chicken Cottage buka cawangan pertama di Malaysia

NOR Dalila Idrus menunjukkan menu utama 'Chicken Grilled' pada majlis perasmian Restoran Chicken Cottage di Kampung Ladang Tok Pelam. - Foto Aswadi Alias
NOR Dalila Idrus menunjukkan menu utama 'Chicken Grilled' pada majlis perasmian Restoran Chicken Cottage di Kampung Ladang Tok Pelam. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Restoran makanan segera popular dunia, Chicken Cottage membuka cawangan pertama di Malaysia.

Chicken Cottage ialah restoran makanan segera halal dan sudah mempunyai 103 cawangan di United Kingdom, Pakistan, Algeria, Perancis, Dubai, Slovakia, Afrika Selatan, Libya, Sweden, Itali dan Iraq.

Majlis pembukaan cawangan restoran itu di Kuala Terengganu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Kampung Ladang Tok Pelam, di sini, hari ini.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri melalui Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan Global Food Brands bergabung mengambil alih jenama Chicken Cottage yang mempunyai jumlah restoran lebih daripada seratus buah di United Kingdom dan di beberapa negara di seluruh dunia.

Katanya, pihaknya juga dimaklumkan cawangan restoran Chicken Cottage di Terengganu adalah yang pertama menggunakan imej korporat yang baharu.

"Saya dimaklumkan bahawa restoran ini adalah yang pertama di dunia ini yang menggunakan penjenamaan baharu yang akan menjadi rujukan kepada restoran Chicken Cottage di seluruh dunia.

"Pembukaan ini adalah satu kebanggaan buat rakyat Terengganu dan kita merancang membuka sembilan cawangan di negeri ini," katanya.

Berita Harian X