Isnin, 14 Disember 2015 | 4:08pm

Syed Faisal dilantik CEO Kumpulan DRB-Hicom

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan DRB-Hicom Bhd berkuat kuasa 4 Januari 2016, menggantikan Tan Sri Mohd Khamil Jamil.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, DRB-Hicom menyatakan Khamil akan bersara pada 20 Januari 2016.

Syed Faisal, 50, seorang akauntan yang memiliki pengalaman korporat yang luas dalam pelbagai industri, termasuk pernah menjawat pelbagai jawatan eksekutif antaranya sebagai CEO Malakoff Corp Bhd, Gas Malaysia Bhd dan The New Straits Times Press (M) Bhd.

"Beliau juga bekas Pengarah Eksekutif Konsortium Logistik Bhd dan Pengarah Urusan Kumpulan Pos Malaysia Bhd," tambah kenyataan itu.

Khamil akan melepaskan jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan pada 1 Mac 2016 bagi memberi masa mencukupi untuk penyerahan tugas kepada CEO Kumpulan yang baharu.

Khamil menyertai DRB-Hicom sebagai Timbalan Pengerusi Kumpulan pada 19 Julai 2005 dan menjalankan tugas sebagai eksekutif penuh pada 16 Ogos 2006.

Beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan pada 1 Mac 2006.

Berita Harian X