Isnin, 23 November 2015 | 2:57pm

Eksport Malaysia ke GCC RM18.79b pada 2014 - MATRADE

KUALA LUMPUR: Jumlah eksport Malaysia ke negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) berjumlah RM18.79 bilion pada 2014, meningkat sebanyak 2.5 peratus tahun ke tahun, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

"Walaupun penembusan pengeluar atau syarikat Malaysia ke pasaran GCC agak kecil, ia masih pasaran penting kepada kita untuk terus diterokai," kata Pengarah Bahagian Promosi Perdagangan ICT dan Perkhidmatan, Sharimahton Mat Saleh.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan pada seminar 'Pengenalan Skim G-Mark di GCC' di sini, hari ini.

Peraturan G-Mark yang dipinda - Peraturan Teknikal (BD-142004-01) yang berkuat kuasa pada 1 Julai, 2016 - akan memberi kesan kepada sektor-sektor seperti barangan pengguna, mainan, elektrik dan elektronik, telekomunikasi dan jentera, katanya.

"Seminar hari ini bertujuan mewujudkan kesedaran kepada pihak yang terbabit, dan memastikan syarikat Malaysia terus berdaya saing dalam pasaran GCC," katanya.

Peraturan Teknikal meliputi keselamatan dan kesesuaian elektromagnet dan diguna pakai di negara-negara GCC.

Ia akan diwajibkan untuk semua peralatan elektrik voltan rendah yang dikeluarkan atau diimport ke negara-negara anggota GCC iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu. - BERNAMA

Berita Harian X