Rabu, 11 November 2015 | 2:46pm

Syarikat francais berdaftar meningkat 8 peratus

TIMBALAN Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah ketika sidang media Malam Anugerah Francais (MAF) 2015, turut kelihatan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad. - Foto Mohd Fadli Hamzah
TIMBALAN Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah ketika sidang media Malam Anugerah Francais (MAF) 2015, turut kelihatan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Sebanyak 794 syarikat francais berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan setakat ini, kata Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan lapan peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

"Peningkatan paling ketara dicatatkan dalam industri makanan dan minuman serta pendidikan awal kanak-kanak.

"Syarikat francais Malaysia kini beroperasi di 55 buah negara dengan 60 jenama," katanya pada sidang media mengenai Malam Anugerah Francais di sini, hari ini.

Beliau berkata, Malam Anugerah Francais yang akan berlangsung pada Selasa depan akan menyaksikan penyertaan pelbagai jenama seperti The Manhattan Fish Market, Coolblog, Dapur Penyet, Ar-Rahn dan Chop & Grill.

"Terdapat empat kategori yang dipertandingkan iaitu kategori Sistem Francais, Francaisi, Terbuka dan Penghargaan Khas," katanya.

Katanya, anugerah itu adalah pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada penggiat francais Malaysia yang menunjukkan komitmen berterusan dalam meningkatkan kualiti dan prestasi yang baik.

Antara finalis pada acara itu ialah Berjaya Roasters (M) Sdn Bhd (Kenny Rogers Roasters), Senheng Electric (KL) Sdn Bhd dan Wonderful Lifestyle Sdn Bhd (Gloria Jeans Coffee).

- BERNAMA

Berita Harian X