Isnin, 9 November 2015 | 8:51pm

Bank Islam catat pertumbuhan 30 peratus

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) merekodkan pertumbuhan 30.8 peratus dalam perbelanjaan petrol menerusi segmen kad kredit dan debit berbanding sasaran awal sebanyak 20 peratus sepanjang `Swipe and Drive Further Campaign` selama tiga bulan.

Pengarah Urusan BIMB, Datuk Zukri Samat berkata sepanjang kempen itu, penggunaan transaksi kad kredit dan debit di stesen petrol meningkat kepada 55 peratus.

"Bukan itu saja, antara Januari dan September, perbelanjaan petrol yang dicatatkan bernilai RM38.7 juta, suatu jumlah yang besar bagi perbelanjaan runcit menggunakan kad kredit dan kad debit, iaitu menghampiri RM1 bilion," katanya kepada pemberita selepas acara penyampaian hadiah kepada pemenang utama kempen itu.

Sepanjang kempen, jumlah permohonan untuk kad kredit baharu i-kad Visa Bank Islam meningkat 35 peratus, sejajar dengan objektif kempen yang bertujuan menggalakkan pengguna menggunakan kemudahan pembayaran elektronik.

Kempen itu dijalankan dengan kerjasama PETRONAS Dagangan Bhd dan Visa Malaysia.

Sehingga Oktober 2015, terdapat 135,000 pemegang kad kredit Bank Islam dan kira-kira 2.4 juta pemegang kad debit.

Sementara itu, pada majlis berkenaan lima pemenang utama membawa pulang hadiah petrol percuma selama setahun bernilai RM10,000, manakala 279 pemenang harian menerima petrol percuma bernilai Rm1,000.

-- BERNAMA

Berita Harian X