Khamis, 5 November 2015 | 3:54pm

Teks akhir Perjanjian TPP boleh dimuat turun petang ini

MENTERI Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed . - Foto Hafiz Sohaimi
MENTERI Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed . - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Teks Akhir Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) boleh dibaca dan dimuat turun di laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), www.fta.miti.gov.my/index.php/pages/view/tppa bermula hari ini, jam 6.00 petang.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MITI hari ini, teks ini juga boleh didapati di laman web Kementerian Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan New Zealand, yang merupakan 'depository' teks TPPA.

Ia boleh dibaca di www.mfat.gov.nz/tppdepository.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kesemua 12 negara yang terbabit dalam rundingan TPP sudah memuktamadkan rundingan dan mengesahkan teks perjanjian dan jadual yang berkaitan.

Dengan muktamadnya perjanjian ini, kesemua 12 negara bersetuju untuk menghebahkan teks akhir perjanjian ini untuk tatapan umum, katanya.

Susulan dari hebahan teks akhir ini, dua analisis kos dan faedah yang dikendalikan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) dan PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia akan dimuktamadkan dalam masa kira-kira dua minggu.

Kerajaan berharap teks akhir yang didedahkan kepada umum ini berserta dengan dua analisis kos dan faedah akan memberikan penjelasan yang lebih meluas kepada rakyat berkenaan perjanjian perdagangan ini.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa TPPA akan dibentangkan di Parlimen untuk perbahasan dan bagi mendapatkan keputusan," kata Mustapa.

Sesi berkenaan dijangka diadakan pada Januari atau Februari 2016.

MITI berserta beberapa agensi kerajaan lain akan terus mengadakan sesi penerangan atau pembabitan dengan pihak berkepentingan.

"Kami telah menerima banyak permohonan untuk sesi penerangan dan akan cuba sedaya-upaya untuk memenuhinya," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X