X
Selasa, 13 Oktober 2015 | 6:57pm

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia hari ini ditutup tinggi dengan minat belian asing sederhana dalam kaunter berwajaran tinggi terpilih, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, penanda aras pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.28 mata kepada 1,711.14 selepas bergerak antara 1,705.3 dan 1,716.75 sepanjang sesi.

Seorang peniaga berkata, trend positif dalam bursa tempatan ini berlawanan dengan aliran menurun bursa serantau lain.

Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank naik 11 sen kepada RM8.62, IHH Healthcare melonjak 13 sen kepada RM6.34, Axiata dan Digi masing-masing kekal pada RM6.38 dan RM5.75, manakala Petronas Gas susut empat sen kepada RM22.76.

Dalam kalangan kaunter cergas, Frontken bertambah 2.5 sen kepada 21.5 sen, Iris Corp meningkat 1.5 sen kepada 26 sen, XoX Bhd naik satu sen kepada 16 sen dan Privasia Technology serta AirAsia masing-masing meraih tiga sen kepada 29 sen dan RM1.45.

Keseluruhan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 433 berbanding 414, manakala 315 kaunter tidak berubah, 628 tidak diniagakan dan 16 lagi digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.47 bilion saham bernilai RM2.45 bilion daripada 2.09 bilion saham bernilai RM2.2 bilion pada Isnin. Kaunter paling untung ialah British American Tobacco (melonjak RM1.22 kepada RM62.72), Nestle (bertambah 50 sen kepada RM73.60) dan Success Transformer (meningkat 24 sen kepada RM1.61) manakala kaunter paling rugi ialah Aeon Credit Service, Genting dan Top Glove yang masing-masing jatuh 24 sen kepada RM13.40, RM7.51 dan RM8.05.

Pada papan skor lain, Indeks FBM Emas naik 4.37 mata kepada 11,770.74, FBM Ace melonjak 63.16 mata kepada 5,961.83 dan Indeks FBMT100 bertambah 5.72 mata pada 11,477.8.

Indeks FBM Emas Syariah pula jatuh 14.48 mata kepada 11,770.74 dan FBM 70 merosot 4.19 mata kepada 12,706.52.

Dari segi sektor, Indeks Kewangan meningkat 87.6 mata kepada 14,585.23 dan Indeks Perladangan naik 6.75 mata pada 7,497.38. Indeks Perusahaan pula susut 3.67 mata kepada 3,319.43.

Jumlah Pasaran Utama meningkat kepada 1.45 bilion unit bernilai RM2.25 bilion daripada 1.17 bilion unit bernilai RM2.01 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 638.87 juta saham bernilai RM137.74 juta daripada 495.6 juta saham bernilai RM102.79 juta semalam.

Waran berkurang kepada 372.91 juta unit bernilai RM63.11 juta daripada 423.81 juta unit bernilai RM84.34 juta sebelum ini.

Produk pengguna merangkumi 60.3 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk perusahaan (301.11 juta), pembinaan (70.63 juta), perdagangan dan perkhidmatan (602.09 juta), teknologi (43.42 juta), infrastruktur (35.08 juta), SPAC (21.56 juta), kewangan (96.99 juta), hotel (949,200), hartanah (156.05 juta), perladangan (64.75 juta), perlombongan (34,100), REIT (5.53 juta) dan tertutup/dana (25,000). - BERNAMA

Berita Harian X