Selasa, 13 Oktober 2015 | 12:40pm

HLIB kekal saranan 'beli' MAHB

KUALA LUMPUR: Hong Leong Investment Bank Research (HLIB) mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada harga sasaran RM6.79.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, HLIB berkata, sektor China terus menunjukkan peningkatan sejak Mei dengan pertumbuhan purata sebanyak +18.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Begitu juga dengan Asia Barat yang turut mencatat pertumbuhan positif manakala Eropah terjejas dengan penyusunan semula MAS," kata firma penyelidikan itu.

Bagaimanapun, ia berkata operasi Malaysia dipengaruhi oleh perasionalan kapasiti MAS, penurunan ringgit (rakyat tempatan kurang melancong) serta keadaan jerebu (menjejaskan perjalanan, terutama dalam Semenanjung).

Bagaimanapun, klia2 terus mencatat pertumbuhan kukuh pada +15.2 peratus, dipacu oleh operasi syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Group (termasuk AirAsia X) dan Malindo.

Sementara itu, dalam nota berasingan, Alliance DBS Research pula memberi saranan "pegang" bagi MAHB dengan harga sasaran RM5.40. Alliance DBS Research berkata, ia menurunkan unjuran jumlah pergerakan penumpang bagi Malaysia pada tahun kewangan (2016-2017) sebanyak tiga peratus.

"Kami kini menjangka jumlah pergerakan penumpang Malaysia akan berkembang hanya satu peratus pada tahun kewangan 2016, dan lima peratus setahun kemudiannya.

"Bagaimanapun, MAHB bersedia untuk mencapai sasaran tiga peratus dalam jumlah penumpang Malaysia pada tahun kewangan 2015, tetapi ini akan dipacu oleh hasil yang rendah dalam segmen bukan KLIA dan domestik," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X